Seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berdepan saman fitnah yang difailkan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, berusaha mendapatkan sokongan awam untuk mempertahankan dirinya.
Kes saman Yeoh terhadap Kamarul Zaman Yusoff berkait dengan dakwaan serupa yang dibuat bekas ketua polis negara (IGP) Musa Hassan, yang mendakwa pemimpin DAP itu terlibat dalam evangelisme Kristian dan cuba memurtadkan umat Islam.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, Kamarul berkata dia gembira kerana Mahkamah Tinggi sebelum ini memihak kepada Musa dengan menolak saman Yeoh, dan dia optimis dirinya juga berada di pihak yang benar.
“Doakan kemenangan saya dalam kes ini,” kata Kamarul.
Dalam kedua-dua saman terhadap Musa dan Kamarul, petikan dalam buku autobiografi Yeoh, Becoming Hannah - di mana dia membincangkan pengaruh agama Kristian terhadap kehidupan dan perjalanan politiknya - menjadi punca dakwaan dia terlibat dalam kegiatan evangelisme yang menyasarkan umat Islam.
Hakim yang mengendalikan saman pemimpin DAP itu terhadap Musa memutuskan bahawa bekas IGP itu mempunyai alasan munasabah untuk dakwaannya berdasarkan afidavit Yeoh dan buku tersebut.
Kamarul - yang telah memberi keterangan untuk pembelaan Musa - juga bergantung kepada alasan pembelaan yang sama.
Yeoh berulang kali menafikan dia ingin menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian atau ingin memurtadkan umat Islam.
Perbicaraan kesnya terhadap Kamarul dijadual bersambung pada 14, 16, dan 17 Januari.
Dalam kenyataan berasingan hari ini, ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden turut menyeru umat Islam agar menunjukkan solidariti dengan Kamarul.