Selepas isu sambutan Krismas di pejabat kerajaan, PAS terus menyerang pemimpin DAP Nga Kor Ming.
Mengorek hantaran lama di X lima tahun lalu, Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari membangkitkan kedudukan mendiang datuk Nga yang berjuang semasa Perang Dunia Kedua.
“Melihat kepada bahasa kamu yang agak celupar kebelakangan ini, saya ingin bertanya sekali lagi, di sebelah mana datuk kamu berjuang dahulu ketika Perang Dunia Kedua?
“Sudah tentu ada bukti rekod perkhidmatan dan lain-lain,” katanya di media sosial tengah hari tadi.
Bagaimanapun, selepas kira-kira lima jam, Fadhli ‘menukar nada’ setelah terdapat pengguna maya mengaitkan datuk Nga dengan Komunis.
“Dalam posting saya tadi, saya hanya bertanya tentang perjuangan datuk kepada menteri yang celopar itu sahaja, tetapi saya sedih apabila ramai yang komen di posting itu mengaitkan dengan perjuangan komunis.
“Saya tidak rasa begitu,” kata anggota parlimen Pasir Mas, sinis.
Menurut Britannica, ensiklopedia tertua yang masih beroperasi, Jepun ditentang oleh gerila Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (MPAJA).
Pada Disember 1941, Jepun menyerang dengan pantas dan menawan Malaya dalam masa 10 minggu, menyebabkan British melatih kumpulan gerila kecil, yang kemudian membentuk MPAJA.
Tentera ini terdiri daripada majoriti Komunis Cina, sebilangan kecil Kuomintang, dan beberapa orang Melayu.
Bagaimanapun, selepas perang, mereka cuba merampas kuasa politik tetapi gagal.
MPAJA dibubarkan secara rasmi, tetapi struktur dan senjatanya kekal beroperasi secara bawah tanah hingga pemberontakan Komunis pada 1948.
Sementara itu, Fadhli berkata sangat mustahil datuk Nga berjuang untuk komunis.
“Takkanlah dia berbangga dengan komunis. Saya percaya dia celopar, tetapi saya tidak percaya dia menyanjung perjuangan komunis dalam konteks pada waktu itu.
“Saya yakin datuknya seorang pejuang hebat. Ia wajib difilemkan oleh Kementerian Komunikasi,” katanya.
Dalam hantaran pada 16 Ogos 2019, Nga berkongsi gambar pameran berkaitan penglibatan datuknya dan datuk seorang lagi pemimpin DAP Hannah Yeoh sebagai prajurit semasa Perang Dunia Kedua.
“Bila Jepun menjajah tanah air kita, mereka yang berkorban mempertahankan kedaulatan negara adalah wira dan wirawati, sumbangan mereka wajib diberi penghargaan,” katanya
Cadang buat filem
Sementara itu, Fadhli juga mencadangkan perjuangan datuknya difilemkan.
“Jika sekarang dewan bersidang, saya akan lontarkan dalam Dewan Rakyat,” sindirnya lagi.
Terdahulu PAS mengkritik Nga susulan sambutan Krismas yang melibatkan kakitangan kerajaan beragama Islam atas alasan terdapat larangan terhadap umat Islam menyertai acara agama bukan Islam.
Terdahulu tersebar video memaparkan kakitangan di kementeriannya menyanyikan lagu “Jingle Bells” – sebuah lagu mengenai keseronokan menaiki kereta luncur di salji – dan lagu “We Wish You a Merry Christmas”.
Nga bagaimanapun menasihatkan pemimpin PAS bertaubat dan tidak merosakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Katanya, acara itu mencerminkan semangat hormat-menghormati dan keharmonian di antara kakitangan kami, yang menjadi prinsip asas sebuah kerajaan yang baik.
PAS juga mengamcam tindakan undang-undang terhadap Nga yang didakwa menuduh parti itu sesat susulan kontroversi sambutan perayaan Krismas itu.
Malaysiakini sudah menghubungi Nga berkaitan serangan terbaru ini dan sedang menunggu maklum balasnya.
Menurut beberapa laporan media pada 2018, datuk kepada Nga, Ni Zhi Xiang, menyertai Nanyang Volunteer Mechanic and Drivers - kumpulan dianggotai kira-kira 3,200 pemandu trak dan mekanik yang bekerja di Jalan Yunnan-Burma semasa Perang China-Jepun.
Ahli kumpulan itu direkrut daripada diaspora Cina yang tinggal di Asia Tenggara.
Jalan Yunnan-Burma adalah laluan penting untuk penghantaran bekalan keperluan kepada usaha perang Angkatan Tentera Republik China dalam melawan Jepun selepas akses mereka kepada bantuan asing melalui laut terputus.
Datuk Nga dilaporkan berangkat dari Singapura untuk menyertai kumpulan tersebut pada Februari 1939 walaupun mendapat tentangan daripada keluarganya.
Walaupun terselamat daripada perang, ketidakstabilan politik yang berlaku di China menyebabkan dia tidak dapat kembali kepada isteri dan anak-anaknya. Dia meninggal dunia di China pada tahun 1979.