Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong mengecam Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria atas kenyataannya bahawa PAS masih berusaha untuk menubuhkan kerajaan sebelum PRU akan datang.
Berbanding membuat kenyataan yang boleh menjejaskan kestabilan seumpama itu, kata Wong, Razman sepatutnya bertaubat dan mengambil iktibar daripada kekalahannya dalam kes saman sebelum ini.
Dia berkata Razman sepatutnya mengambil pendekatan yang lebih matang dan bertanggungjawab apabila membuat kenyataan politik.
“Kepada YB Razman, ingatlah peribahasa yang berbunyi ‘jika sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan’.
“Sebagai ahli politik yang kalah saman fitnah dan hanya meminta maaf serta tarik balik kenyataan selepas menerima surat peguam, dia sepatutnya bertaubat dan belajar untuk mengambil iktibar daripada kes-kes tersebut dengan tidak lagi mewujudkan keadaan huru-hara dan kucar-kacir dalam politik negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam satu ceramah pada 22 Disember lalu yang kemudian tular di media sosial, Razman yang juga Adun Gunung Semanggol berkata PAS masih bercita-cita membentuk kerajaan sebelum PRU akan datang, dan malah ia merupakan keutamaan parti itu.
“Kalau boleh sebelum PRU16, kita berdoa, sebab kalau tunggu PRU16 mudaratnya besar,” katanya.
Ceramah itu, yang diadakan di Markaz PAS Kampong Gajah, Perak, dibuat enam hari sebelum PAS mengeluarkan memo menggesa ahlinya hadir pada perhimpunan menunjukkan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak di Mahkamah Rayuan pada 6 Januari ini.
Mengulas lanjut, Woo yang juga Exco Perak membangkitkan kenyataan yang dibuat Razman dalam sidang media pada Mei 2023, di mana dia menafikan pertemuan dengan wakil rakyat kerajaan pada masa itu tiada kaitan dengan usaha menjatuhkan kerajaan negeri.
“Adakah ini bermaksud Razman cuba untuk menyebarkan penipuan dalam kalangan hadirin ceramah dengan beri janji palsu untuk menukar kerajaan sebelum PRU-16, atau dia sendiri tidak setuju dengan apa yang dikatakannya sewaktu sidang media pada Mei 2023?
“Dia sepatutnya memfokuskan usaha berkhidmat demi rakyat kawasannya daripada terus menyebarkan info politik yang tidak berasas,” katanya lagi.