Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Taiping hari ini terhadap pertuduhan melakukan khianat menggunakan api dengan membakar sebuah motosikal, Khamis lepas.
Zainatul Rafeda Zainul Abidin, 43, dalam nada sebak membuat pengakuan itu sambil menyatakan kekesalan terhadap perbuatannya sejurus selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Peniaga pisang goreng dan apam balik itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan api dengan pengetahuan bahawa dia akan menyebabkan kerosakan kepada harta berupa sebuah motosikal jenis Honda RSX bernilai RM7,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Masjid Pokok Assam dekat Taiping, kira-kira 3.50 petang, 26 Dis lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin menawarkan jaminan RM20,000 berserta syarat tertuduh tidak mengganggu pengadu bagi kes itu.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ng Wei Jun yang mewakili tertuduh merayu supaya jaminan rendah dikenakan antaranya atas faktor umur, pekerjaan tertuduh dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan bagi menyara empat anak selain suami tertuduh mengalami strok sebelah badan.
Hakim kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin serta syarat tertuduh tidak boleh mengganggu pengadu, selain menetapkan 14 Jan depan untuk laporan fakta kes serta jatuh hukum.
Ahli keluarga tertuduh yang turut berada di dalam mahkamah juga dilihat sebak ketika tertuduh membuat pengakuan bersalah.
Pada 27 Dis lepas, media melaporkan seorang wanita yang tidak berpuas hati kerana motosikalnya akan ditarik akibat tunggakan bayaran selama 20 bulan, bertindak nekad membakar kenderaan berkenaan di Pokok Assam, dan video kejadian itu tular di media sosial.
- Bernama