Seorang pemimpin Bersatu meluahkan rasa kecewa apabila PAS merancang mengadakan perhimpunan untuk menyokong bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Setiausaha PN Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais, menyifatkan penglibatan pembangkang dalam perhimpunan itu sebagai "mengecewakan" dan berbaur "politik oportunis".
“Perhimpunan ini melambangkan isu yang lebih besar dalam politik Malaysia - pemimpin dari kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) lebih menumpukan kepada mengekalkan pengaruh daripada menangani kebimbangan rakyat.
“Rakyat hanya menjadi penonton dalam teater politik di mana golongan berkuasa saling melindungi antara satu sama lain, tanpa mengira pihak mana mereka berada,” katanya.
Umno dan PAS baru-baru ini bersetuju mengadakan perhimpunan setiakawan untuk Najib pada 6 Januari di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.
Perhimpunan ini berlangsung serentak dengan pendengaran mengenai titah tambahan diraja yang berkemungkinan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Dalam memo dalamannya, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, meminta pemimpin parti itu menggerakkan ahli bagi menyertai perhimpunan itu.
Ini merupakan kerjasama pertama antara PAS dan Umno sejak 2022 apabila kedua-dua parti itu bekerjasama di bawah payung Muafakat Nasional.
'Tak berminat tegakkan keadilan'
Bagaimanapun Mahathir berkata, perhimpunan tersebut menunjukkan bahawa kerajaan mahupun pembangkang tidak berminat untuk menegakkan keadilan.
“Kes SRC International sepatutnya menjadi titik perubahan - simbol harapan untuk sistem keadilan yang adil dan saksama. Sebaliknya, ia menjadi bahan jenaka kegagalan sistemik Malaysia.
“Kerajaan dan pembangkang gagal mengatasi permainan politik.
“Pengurangan hukuman Najib oleh kerajaan melemahkan badan kehakiman dan prinsip akauntabiliti, manakala perhimpunan pembangkang menunjukkan sikap hipokrit dan tidak konsisten mereka,” katanya.
Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah dalam kes rasuah melibatkan dana RM42 juta SRC International.
Selepas bersidang pada 29 Januari, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan hukuman terhadap bekas presiden Umno itu kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Namun terdapat dakwaan bahawa pengerusi lembaga ketika itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, turut membuat perintah tambahan untuk Najib menjalani baki hukuman di rumah.
Najib memfailkan semakan kehakiman untuk meminta kerajaan mendedahkan sama ada perintah itu wujud da sekiranya ada, melaksanakan perintah tersebut.