Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan tertipu video 'Zeti' kongsi rahsia pelaburan - Teo
Diterbitkan:  Dec 30, 2024 2:22 PM
Dikemaskini: 6:47 AM

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching meminta orang ramai tidak terpedaya dengan penyebaran video palsu "deepfake" berjudul “Rahsia Pelaburan Sepanjang Hayat Zeti” dalam bahasa Mandarin.

Dalam satu hantaran di Facebook semalam, Teo memberi amaran mengenai sebuah halaman Facebook palsu bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz.

Halaman tersebut, yang hanya mempunyai 126 tanda suka, memaparkan video deepfake “Zeti” bercakap dalam bahasa Mandarin.

Dalam video tersebut, "Zeti" memperkenalkan dirinya sebagai individu yang telah bekerja dalam sektor kewangan selama lebih 40 tahun, membentuk dasar monetari Malaysia dan menyaksikan perubahan ekonomi yang ketara. Imej berkenaan juga mendakwa kini memberi tumpuan kepada perkongsian pengetahuan kewangan dan pelaburan selepas bersara.

Video itu mengajak penonton menyertai komuniti dalam talian untuk "belajar dan maju bersama," dengan menawarkan tips saham dan pandangan ekonomi bagi membantu pengguna memahami bagaimana dasar negara dan perubahan pasaran mempengaruhi pelaburan.

Teo mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada apabila berhadapan dengan tawaran sedemikian.

“Sentiasa periksa dengan teliti, kekal skeptikal, dan elakkan menjadi mangsa kepada skim sebegini.

“Ingat, tiada perkara seperti makan tengah hari percuma. Berhati-hati terhadap mana-mana rancangan pelaburan yang mendakwa menawarkan ‘keuntungan terjamin’ untuk mengelakkan penipuan,”katanya.

Timbalan menteri itu turut mengkritik Meta kerana membenarkan kecerdasan buatan (AI) menghasilkan video yang mengelirukan demi mengejar hasil pengiklanan, dan mendakwa platform itu secara tidak langsung membantu penipu yang mensasarkan wang hasil titik peluh rakyat Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS