Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin Islam kena berani macam Nga - Zaid Ibrahim
Diterbitkan:  Dec 30, 2024 12:50 PM
Dikemaskini: 4:53 AM

Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, menyokong Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, selepas perselisihannya dengan PAS mengenai acara Krismas di kementeriannya baru-baru ini.

Nga mempertahankan acara tersebut dan menyatakan akan terus meraikan pelbagai perayaan dengan semua lapisan masyarakat tanpa tunduk kepada golongan fanatik dan ekstremis.

"Bilakah kita akan mempunyai seorang menteri Melayu Muslim yang mengatakan perkara seperti ini?" soal Zaid di Facebook hari ini.

Pada 26 Disember, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Hanif Jamaluddin, membantah persembahan lagu Krismas yang dikatakan diadakan di ibu pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya.

Zaid Ibrahim

Hanif membangkitkan isu video persembahan yang turut melibatkan orang Islam.

Hanif berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab, Nga sepatutnya tahu bahawa ia haram bagi Muslim untuk menyertai perayaan agama lain.

Namun, Nga membalas dengan berkata kementeriannya menegakkan nilai perpaduan dalam kepelbagaian sebagai teras kekuatan negara.

"Rasa hormat dan belas kasihan adalah dua prinsip utama dalam pentadbiran kami."

"Saya nasihatkan PAS bertaubat dan berhenti menyebarkan fitnah atau mengganggu keharmonian antara kaum," tegasnya.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, bagaimanapun menuduh Nga membuat kenyataan "melampau" dan "emosional" serta mengancam tindakan undang-undang terhadap menteri tersebut.

Dalam pada itu, Zaid memuji Nga dan mengagumi keberaniannya berdiri teguh demi perkara yang betul.

Zaid juga mengkritik PAS kerana menganggap diri mereka sebagai penjaga urusan Islam, walhal mereka tidak dilantik untuk peranan itu oleh sultan-sultan Melayu, yang secara perlembagaan berkuasa mengendalikan hal ehwal Islam di negeri masing-masing.

"Nga tetap tidak gentar. Dia akan terus menjadi menteri untuk semua rakyat Malaysia dan mempromosikan keharmonian antara kaum," kata Zaid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS