Pemuda Amanah Perak menempelak tindakan berterusan PAS yang dilihat masih berusaha untuk mengambil alih kerajaan sebelum pilihan raya umum ke-16 (PRU16).
Ketuanya, Khairol Najib Hashim berkata walaupun tidak mengejutkan, namun amat mengecewakan kerana langkah itu bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang jelas melarang sebarang usaha menjatuhkan kerajaan.
Tegasnya, tindakan ini mencerminkan kepimpinan yang tidak menghormati proses demokrasi dan hanya mementingkan agenda politik sendiri.
“Malah, PAS lebih sibuk dengan nafsu untuk menjadi kerajaan berbanding membawa isu-isu yang membebankan rakyat ke dalam perbahasan yang membina.
“Rakyat perlu sedar bahawa usaha-usaha seperti ini hanya akan merosakkan kestabilan politik dan ekonomi negara. Kita perlu menolak politik tidak matang yang hanya mementingkan kuasa tanpa menghiraukan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dia berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dalam ceramah Selamatkan Malaysia di Markaz PAS Kampong Gajah, Perak, pada 22 Dis lalu.
Melalui rakaman yang tular di media sosial, Razman antara lain mendedahkan bahawa parti itu masih mempunyai cita-cita untuk membentuk kerajaan sebelum pilihan raya umum akan datang.
“(TikTokers) teruskan usaha untuk memaklumkan kepada rakyat, keutamaan adalah tugas kita untuk mengambil alih kerajaan sebelum PRU16.
“Kita beri mandat dan amanah kepada pemimpin yang kita ada hari ini, kita beri kepercayaan, apa yang mereka nak buat, macam mana mereka nak buat, apa yang perlu ditambah dan sebagainya.
“Kalau boleh sebelum PRU16, kita berdoa, sebab kalau tunggu PRU16 mudaratnya besar,” katanya.
Timbulkan tanda tanya
Ceramah itu diadakan enam hari sebelum PAS mengeluarkan memo menggesa ahli hadir pada perhimpunan 6 Jan bagi menunjukkan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang akan menghadiri perbicaraan di Mahkamah Rayuan dalam usahanya mendapatkan tahanan rumah.
Perhimpunan itu adalah kali pertama sejak 2022 melibatkan PAS dan Umno - yang pernah berkerjasama dalam gabungan Muafakat Nasional.
Bagaimanapun, kenyataan Razman menimbulkan tanda tanya apakah maksud di sebalik solidariti PAS terhadap Najib dengan jangkaan bahawa parti itu akan melakukan ‘genjatan senjata’ buat seketika.
Sementara itu, Khairol Najib berkata, PN terutamanya PAS, telah berulang kali cuba menipu rakyat dengan meuar-uarkan pelbagai tarikh kejatuhan Kerajaan Perpaduan.
“Namun semuanya terbukti hanya pembohongan semata-mata. Kini, pengakuan Razman Zakaria bahawa pemimpin PAS diberi mandat untuk mengambil alih kerajaan sebelum PRU16 kerana kononnya menunggu pilihan raya akan mendatangkan mudarat yang besar.
“(Ini) jelas menunjukkan agenda politik kotor mereka,” katanya.