Jimmy Carter, Presiden Amerika Syarikat ke-39 dan penerima Hadiah Nobel Keamanan 2002 meninggal dunia pada usia 100 tahun di kediamannya di Plains, Georgia, lapor Agensi Anadolu yang memetik kenyataan daripada Carter Centre.
"Ayah adalah seorang wira, bukan hanya kepada saya tetapi kepada semua yang memperjuangkan keamanan, hak asasi manusia dan kasih sayang tanpa syarat.
"Saya, bersama adik-beradik saya, berkongsi beliau dengan dunia menerusi nilai-nilai bersama ini. Dunia menjadi keluarga kami kerana cara beliau menyatukan insan dan kami berterima kasih kepada anda kerana menghormati kenangannya dengan terus menghayati nilai-nilai ini," kata Chip Carter, anak kepada bekas presiden itu.
Carter memegang jawatan sebagai presiden AS dari Januari 1977 hingga Januari 1981.
Beliau meninggalkan empat anak, 11 cucu dan 14 cicit. Isterinya, Rosalynn, meninggal dunia pada 2023.
Presiden Joe Biden menyifatkan pemergian Carter sebagai kehilangan seorang pemimpin, negarawan dan pejuang kemanusiaan luar biasa bagi Amerika dan dunia.
"Dengan sifat belas kasih dan moralnya, beliau berusaha membasmi penyakit, memupuk keamanan, memperjuangkan hak sivil dan hak asasi manusia, mempromosi pilihan raya bebas dan adil, menyediakan tempat tinggal kepada gelandangan, serta sentiasa memperjuangkan golongan paling terpinggir.
"Beliau menyelamatkan, mengangkat, dan mengubah kehidupan ramai insan di seluruh dunia," kata Biden dalam satu kenyataan.
Biden turut mengumumkan bahawa beliau akan mengarahkan majlis pengebumian negara diadakan di Washington, DC bagi menghormati Carter.
Presiden terpilih Donald Trump pula berkata, cabaran yang dihadapi Carter sebagai presiden muncul pada waktu yang kritikal bagi AS, dan beliau melakukan segala yang termampu untuk memperbaiki kehidupan semua rakyat Amerika.
"Atas usaha itu, kita semua terhutang budi kepadanya.
"Melania dan saya menyampaikan salam takziah kepada keluarga Carter dan orang tersayang mereka pada saat sukar ini," katanya menerusi platform Truth Social miliknya.
- Bernama