Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Universiti Alternatif sinari harapan buat anak muda terpinggir di Semporna

Ia pagi yang biasa di Kampung Air Hujung di Semporna, Sabah. Suasana hiruk-pikuk dengan gelak ketawa kanak-kanak yang sedang bermain, orang dewasa pula mengejar masa, bergegas di jalan papan kayu yang sempit menuju ke tempat kerja masing-masing.

Menjelang jam sembilan pagi, gerai-gerai mula membuka pintu, menawarkan keperluan asas kepada penduduk. Nelayan pula memikul hasil tangkapan segar dari rumah ke rumah, berharap dapat menjual hasil tangkapan dengan cepat.

Di tengah-tengah semua ini, di celah rumah kayu dan gerai tepi jalan, terdapat sebuah rumah yang menjadi tempat pembelajaran kalangan yang terpinggir.

Universiti Alternatif bukanlah institusi besar dengan dewan kuliah yang gah atau kampus yang besar. Sebaliknya, ia adalah sebuah rumah coklat sederhana yang dikelilingi ladang hijau, dengan meja dan kerusi kayu diletakkan di luar untuk sesi pembelajaran berbumbungkan langit terbuka.

Universiti ini berkongsi ruang dengan sebuah lagi sekolah yang diuruskan oleh NGO Sabah, Borneo Komrad. Kedua-duanya menawarkan peluang kepada kanak-kanak dan belia yang terpinggir, yang tidak memiliki dokumen sah dan tersisih daripada sistem pendidikan formal di Malaysia.

Universiti Alternatif merupakan sinar harapan buat golongan muda ini, menjadi tempat untuk mereka melakar impian.

Walaupun tiada akreditasi secara rasmi dan beroperasi di luar sistem formal, ia menawarkan pelbagai pelajaran seperti pembikinan filem, fotografi, keusahawanan dan sejarah komuniti mereka, Bajau Laut.

Sejak beroperasi pada Julai lalu, Universiti Alternatif telah menyambut kehadiran pelajar yang penuh semangat untuk belajar dan memajukan diri meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Dahaga ilmu

Salah seorang pelajarnya ialah Bilkuin Jimi Salih. Tinggal di Pulau Omadal, dia perlu menaiki bot selama 30 minit untuk ke Kampung Air Hujung. 

Bilkuin Jimi Salih

Perjalanan pendidikannya bermula di Iskul Sama DiLaut, iaitu sebuah lagi sekolah alternatif di kampung halamannya. Di sana, dia belajar kemahiran asas sebelum memutuskan untuk melanjutkan pelajaran demi masa depan diri dan keluarga.

“Saya membesar dalam keluarga miskin,” kata Bilkuin dengan nada yang tegas tetapi sarat emosi.

“Ayah saya menyewa bot untuk menangkap ikan, manakala ibu menjaga rumah. Kami hanya makan jika ayah berjaya tangkap sesuatu, jadi ada hari yang saya ke sekolah dalam keadaan lapar.”

Selepas menamatkan pendidikan asasnya, Bilkuin menjadi guru komuniti untuk menyumbang kembali kepada kampungnya. Namun, semangatnya terhadap ilmu masih membara.

“Saya bangga dapat mengajar, tetapi saya mahu belajar lebih banyak lagi - tentang sejarah saya, tentang mengapa kami dipinggirkan. Saya tahu pendidikan adalah satu-satunya untuk membantu keluarga saya,” katanya.

Bilkuin ke Universiti Alternatif sebanyak dua kali seminggu. Dia bertekad membina masa depan yang lebih baik dan antara impiannya adalah untuk mendapatkan dokumen diri yang sah.

“Ketika saya mendaftar, guru bertanya tentang impian saya. Perkahwinan bukan dalam perancangan kerana tanpa dokumen, saya tidak mahu anak-anak saya menghadapi kesukaran yang sama.

“Dengan bantuan guru, saya kini sedang mencari cara untuk mendapatkan kewarganegaraan. Saya dilahirkan di sini. Keluarga saya telah tinggal di sini selama beberapa generasi. Saya orang Malaysia. Tetapi tanpa dokumen, saya seperti tidak wujud,” katanya lagi.

Nur Aina Ghalib

Seorang lagi pelajar, Nur Aina Ghalib dari Pulau Mabul menyifatkan pendidikan sebagai kunci untuk dia mencapai impian membuka sekolah selam.

Aina juga membesar dalam kemiskinan dan ibunya meninggal dunia akibat penyakit beberapa tahun lalu.

Untuk menyara keluarga, dia pernah bekerja di sebuah resort sebelum memulakan perniagaan menghasilkan rantai kunci berbentuk hidupan laut yang dijual sebagai cenderahati.

“Rantai kunci ini menjadi alternatif kepada pelancong supaya mereka tidak mengambil kulit siput atau benda lain dari pulau, sesuatu yang kami tidak galakkan.

“Saya meraih pendapatan lebih baik dengan membuat rantai kunci ini berbanding bekerja di resort, ia buatkan saya sedar yang perniagaan adalah cara untuk bantu keluarga saya,” katanya lagi.

Aina juga sedang berusaha untuk menjadi penyelam bertauliah - dia mendapat inspirasi daripada seorang pemilik sekolah selam di sana yang melihat potensi dalam dirinya.

“Mereka membiayai lesen saya sebelum ini, termasuk lesen Rescue Diver. Kini, saya fokus belajar cara menubuhkan sekolah selam saya sendiri sambil meneruskan pendidikan di Universiti Alternatif,” katanya.

Selain perniagaan, Aina gemar aktiviti deklamasi puisi dan perbincangan sastera di kelas.

“Kami sedang membaca Laskar Pelangi, novel Indonesia tentang kanak-kanak dari kampung miskin yang tidak pernah berputus asa dengan pendidikan.

“Cerita ini sangat dekat di hati saya. Saya bersyukur guru saya menggalakkan saya menyertai universiti ini. Saya telah belajar banyak perkara dan keyakinan diri saya semakin meningkat,” katanya lagi.

Menjadi aktivis dan pelakon

Bagi Jai Jericho Omar, salah seorang graduan Sekolah Alternatif, pusat itu telah menguatkan aspirasinya untuk menjadi seorang aktivis dan pelakon.

Jai Jericho Omar

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata dia berbincang dengan ibu bapanya sebelum memutuskan untuk melanjutkan pelajaran.

“Mereka sangat menyokong dan saya amat bersyukur,” katanya.

Di Universiti Alternatif, Jai mendalami sastera, falsafah dan pertanian. Dia juga menguruskan ladang komuniti milik universiti, dengan tanaman seperti moringa, cili padi, limau, dan herba.

“Kami juga membela ayam untuk mendapat telur dan menjaga kucing jalanan.

“Tempat ini dahulunya kawasan pembuangan sampah tetapi kini ia menjadi indah. Orang yang datang melawat pasti akan merasa kagum,” katanya dengan nada bangga.

Sejak beroperasi, Universiti Alternatif telah menarik sekurang-kurangnya 20 pelajar sepenuh dan separuh masa, masing-masing berdepan cabaran tersendiri dan juga dengan impian tersendiri.

Sementara setiap pelajar mempunyai minat yang pelbagai dan berbeza, mereka juga ada mempelajari mata pelajaran yang sama, seperti sastera, puisi dan sejarah komuniti mereka.

Apa maksud universiti?

Bagi guru yang juga pengasas Borneo Komrad Mukmin Nantang, penubuhan Universiti Alternatif adalah satu kebanggaan buatnya.

“Pelajar dari Sekolah Alternatif sering bertanya tentang Borneo Komrad kerana kami sering beritahu mereka yang ia adalah gerakan pelajar universiti.

Mukmin Nantang

“Mereka mula bertanya bagaimana mereka boleh mewujudkan sesuatu yang sama seperti dengan gerakan kami. Jadi kami tanya mereka, ‘apa makna universiti bagi kamu?’ Dari situlah Universiti Alternatif lahir,” kata Mukmin.

Mukmin dan guru-guru lain membimbing pelajar untuk membayangkan universiti mereka sendiri, termasuk membuat kaji selidik untuk memahami minat mereka.

“Ada yang ingin belajar Bahasa Inggeris, sejarah Bajau Laut, reka bentuk grafik, penulisan kreatif dan banyak lagi.

“Ada lebih 30 subjek yang mereka ingin teroka. Kemudian kami cari guru, sama ada dari Borneo Komrad, komuniti atau sukarelawan yang bersemangat untuk mendidik,” katanya.

Ada filem yang dihasilkan pelajar - sebagai sebahagian daripada pembelajaran mereka - ditayangkan di Freedom Film Festival tahun ini.

Mengulas lanjut, Mukmin percaya inti pati universiti bukan terletak pada saiz bangunan atau kapasiti pelajar, tetapi atas keupayaan untuk memberi inspirasi.

“Kami mahu menyemai rasa cinta kepada ilmu. Kami mahu satu tempat di mana sesiapa sahaja, sama ada tanpa dokumen, terpinggir atau miskin, boleh mendapat pendidikan, berfikir secara kreatif dan memperoleh kemahiran untuk membentuk masa depan mereka.”

Menurut Mukmin, sebahagian pelajar sudah mula mendapat pengalaman praktikal, antaranya menerusi latihan pemuliharaan, latihan amali bersama seniman tempatan dan latihan sebagai pemandu pelancong.

“Kami bertanya kepada pelajar, adakah menjadi nelayan atau pelayan di kedai itu salah? Tidak, itu tidak salah. Tetapi itu bukanlah segala-galanya dalam hidup ini.

“Apa yang kami tekankan kepada mereka adalah: jangan berharap apabila memasuki universiti ini, ia akan terus membawa kepada pekerjaan bergaji tinggi. Tetapi, ia akan menambah nilai kepada diri anda, memberi anda lebih banyak pilihan dalam hidup.

“Apabila anda datang ke sini, anda diajar untuk berfikir secara kritis. Anda memperbaiki diri dan memperoleh kemahiran untuk mempelbagaikan peluang anda,” kata Mukmin lagi.

Di tengah Kampung Air Hujung, Universiti Alternatif menjadi lebih daripada sekadar sebuah sekolah.

Ia menawarkan pendidikan sebagai jambatan untuk kehidupan bermaruah, meluaskan pandangan dan memperkasa pelajar dengan kemahiran serta pengetahuan agar mereka dapat mengubah hidup sendiri dan mengangkat komuniti mereka.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS