Dua laporan polis dibuat terhadap sebuah syarikat penerbangan atas dakwaan menukar pintu pelepasan tanpa memaklumkannya kepada penumpang sehingga menyebabkan mereka terlepas penerbangan, semalam.
Menurut bapa kepada penumpang Mohamed Rafi Mohamed, ia menyebabkan anaknya bersama dua lagi saudara warga India tidak dapat menaiki kapal terbang untuk ke Tiruchirappalli.
"Masa penerbangan anak saya adalah 8.10 malam (Sabtu). Ketika mendaftar masuk di kaunter, mereka diminta ke pintu C6. Tapi tunggu sehingga 8.10 malam tiada panggilan untuk naik pesawat,” dakwanya kepada Malaysiakini.
"Maka anak saya bertanya kepada polis bantuan dan mendapati syarikat penerbangan itu menukar pintu C6 ke H pada pukul 7.17 malam.
"Walaupun beberapa kakitangan syarikat penerbangan ada di situ, tiada yang maklumkan mengenai pertukaran pintu pelepasan. Tambahan pula, dari pintu C ke H, anda kena naik bas," dakwanya lagi.
Justeru, kata Rafi, anaknya dan seorang saudara warga India membuat laporan di Balai Polis Main Terminal Building di KLIA. Malaysiakini telah melihat laporan itu.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama syarikat penerbangan tersebut sementara menunggu maklum balas mereka.
Rafi mendakwa seramai tujuh penumpang terlepas penerbangan tersebut.
Dia juga mendakwa anaknya bersama dua saudara mereka terpaksa membeli tiket baru untuk ke India, dengan keseluruhannya berjumlah kira-kira RM8,000.
“Ketika buat laporan, salah seorang pegawai polis beritahu mereka sering dapat aduan sama membabitkan syarikat penerbangan itu.
"Mereka (syarikat) juga tak nak ambil sebarang tanggungjawab dan seorang pegawai syarikat menyalahkan Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB). Malah kakitangan mereka juga beritahu penumpang yang terlepas penerbangan perlu beli tiket baru,” dakwanya.
Rafi berharap Kementerian Pengangkutan dapat melihat perkara itu dengan serius agar penumpang terkandas diberi keadilan.