Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menerima kecaman selepas mempertikai sama ada pengampunan diraja Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada tahun 2018 mengikut prosedur yang betul atau sebaliknya.
Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abd Halim berkata maklumat berkenaan pengampunan Anwar boleh didapati dengan mudah melalui carian dalam talian, yang membuktikan bahawa pengampunan Anwar sememangnya mengikut prosedur.
“Ia telah dilapor secara meluas oleh media ketika itu. Maka apa yang dipertikaikan oleh Akmal bukan sahaja melulu, malah memesongkan fakta yang diketahui umum,” kata Adam dalam kenyataan hari ini.
Setiausaha politik Anwar, Kamil Munim pula mengongsikan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara pada 2018, yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong ketika itu telah mengurniakan pengampunan kepada Anwar atas nasihat Lembaga Pengampunan.
“Baca dan buat homework sikit, saudara. Tahu (Akmal) nak jadi hero Najib tapi tak usah meraban ke hal lain,” katanya di X.
Terdahulu, Akmal mempertikaikan pengampunan Anwar selepas Pejabat Peguam Negara semalam mengeluarkan kenyataan bahawa permohonan Najib untuk tahanan di rumah perlu melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Agong sekarang.
Ini dipercayai bertujuan menangani isu titah tambahan oleh Agong sebelum ini, yang dikatakan membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara kes rasuah SRC International di rumah.
Adam yang juga timbalan menteri belia dan sukan menyarankan agar Akmal menarik balik kenyataannya.
“Adalah bijak untuk Akmal menarik balik kenyataan tersebut. Jangan persoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam memberi pengampunan hingga mencemarkan institusi tersebut.
“Jika dia tidak berhati-hati, kenyataan itu bukan sahaja serangan politik, tetapi boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap institusi diraja dan undang-undang tertinggi negara,” tambah Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu.
“Wajar bagi Akmal untuk menarik semula kenyataannya. Jangan kita pertikaikan bidang kuasa pengampunan Agong sehingga mencalarkan pandangan terhadap keluhuran institusi.
“Jika tidak berhati-hati, kenyataan tersebut bukan lagi sekadar serangan politik, tetapi juga boleh dianggap sebagai tindakan yang tidak menghormati institusi diraja dan undang-undang tertinggi negara,” katanya lagi.
Adam juga menegaskan kerajaan perpaduan mematuhi undang-undang dan Najib serta isterinya, Rosmah Mansor, mempunyai saluran undang-undang tanpa campur tangan politik.
Susulan itu, Akmal dilaporkan menolak gesaan Adam untuk menarik balik kenyataannya.
Menurut Free Malaysia Today, Adun Merlimau itu berkata dia tidak mempersoalkan pengampunan ke atas Anwar, tetapi hanya meminta penjelasan berkenaannya.
Rosmah sebelum ini disabitkan dalam kes rasuah berkaitan projek hibrid solar, yang kini dalam proses rayuan.
Selain itu, dia dibebaskan daripada tuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.
Permohonan semakan kehakiman Najib berkenaan titah tambahan itu pula akan didengar di mahkamah pada 6 Januari ini.
Dia juga masih dibicarakan dalam kes rasuah 1MDB, yang kini di peringkat pembelaan.