Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes sekumpulan individu berzikir dalam keadaan pelik di sebuah tanah perkuburan di Setapak, di Kuala Lumpur semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata pihaknya menerima laporan berkenaan daripada orang awam yang dibuat berdasarkan satu video tular.
Dia berkata perbuatan itu dipercayai berlaku pada Sabtu, kira-kira 10.05 pagi sebelum video mengenainya tular pada petang hari yang sama.
“Laporan oleh orang awam pula diterima pada 4.23 petang semalam dan kes ini dirujuk ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, tular satu video berdurasi 23 saat memaparkan sekumpulan individu berzikir secara pelik dan kuat di sebuah tanah perkuburan di Danau Kota, Setapak hingga mengundang kebimbangan masyarakat khususnya orang Islam.
-Bernama