Beberapa pemimpin DAP mempersoalkan kenyataan terbaru Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menyeru parti itu agar bertanggungjawab atas kesilapan ahlinya, di tengah sabitan fitnah ke atas Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng bertanya jika PAS akan bertindak susulan kenyataan Hadi dan mempertanggungjawabkan Siti Mastura selepas dia kalah dalam saman fitnah yang difailkan tiga pemimpin DAP.
“Jika kenyataan tersebut merujuk kepada Siti Mastura, maka PAS perlu membuktikan komitmennya terhadap prinsip yang disuarakan oleh Hadi.
“PAS seharusnya menasihati Siti Mastura untuk memohon maaf secara terbuka kepada Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok; membayar segera ganti rugi kepada mereka; dan mengumumkan jumlah kutipan derma yang diterima demi memastikan ketelusan,” kata Lim dalam kenyataan hari ini.
Mahkamah baru-baru ini memerintahkan Siti Mastura membayar RM825,000 sebagai ganti rugi kepada tiga pemimpin DAP tersebut atas dakwaan fitnah.
Dia sebelum ini mendakwa ketiga-tiganya mempunyai kaitan dengan mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
‘Bagaimana dengan pemimpin PAS lain?’
Lim turut mencabar Hadi agar konsisten mengambil tanggungjawab atas kenyataannya sendiri yang mencetuskan kontroversi, termasuk ketika mendakwa masyarakat bukan bumiputera sebagai punca rasuah.
Dia mempersoalkan jika Hadi akan mengakui kesilapannya sendiri dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
Dia turut menggesa PAS agar menunjukkan teladan yang baik, dengan berkata, “jika mereka masih tidak mengakui kenyataan fitnah Siti Mastura adalah kesilapan besar, ini hanya akan mengukuhkan tanggapan PAS hanyalah parti yang mengamalkan retorik kosong.”
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Sheikh Umar Bagharib Ali mendakwa PAS telah membiasakan fitnah sebagai senjata politik.
Merujuk kepada beberapa insiden lepas, dia berkata pada 2016 seorang pemimpin PAS memohon maaf kepada DAP selepas membuat dakwaan tidak benar yang parti itu akan mengharamkan azan di Pulau Pinang.
Pada 2017, Pesuruhjaya PAS Perak diarahkan membayar RM200,000 kepada bekas menteri besar negeri itu, Mohammad Nizar Jamaluddin atas dakwaan fitnah.
Pada 2020 pula, Teresa Kok menang saman fitnah terhadap Ketua Pemuda PAS Selangor dan pada 2022 Pesuruhjaya PAS Perak diarahkan membayar RM250,000 kepada Lim Guan Eng atas kesalahan yang sama.
Sheikh Umar juga menekankan betapa pentingnya untuk PAS melihat kembali tindakan-tindakannya.
“Ia bukan soal kutipan derma untuk bayar denda saman fitnah semata-mata. Tetapi lebih penting adalah PAS perlu menjawab persoalan di manakah nilai moral mereka.
“Sebagai parti yang memakai jenama Islam, di manakah nilai moral PAS apabila pemimpin mereka seringkali menggunakan fitnah sebagai senjata politik?” soalnya lagi, sambil merujuk sepotong ayat al-Quran yang bermaksud “Dan fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada membunuh” (Al-Baqarah: 191).