PAS mengecam keras Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, kerana didakwa membuat kenyataan emosional yang dianggap "melampau" dalam kenyataan umum baru-baru ini terhadap parti itu.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata Nga menuduh parti itu "sesat", "menyebar ajaran sesat", "menunggang agama","merosakkan keharmonian masyarakat" dan "menyekat sambutan Krismas".
Kenyataan ini dilaporkan maklum balas terhadap komen Timbalan Ketua Pemuda PAS, Hanif Jamaluddin yang mempertikaikan kehadiran kakitangan beragama Islam pada majlis sambutan Krismas anjuran kementerian Nga.
Takiyuddin berkata Hanif merujuk garis panduan Majlis Fatwa Kebangsaan 2005 dan keputusan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, yang kedua-duanya menetapkan syarat ketat terhadap penglibatan umat Islam dalam acara agama bukan Islam atas kebimbangan terhadap akidah dan kepercayaan Islam.
"Berdasarkan pertimbangan itu, persoalan dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Hanif adalah wajar dan seharusnya ditangani dengan cermat serta telus,” kata Takiyuddin.
Dia menuduh Nga memperbesar-besarkan isu ini dengan responsnya secara umum, yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan bersifat provokasi.
"Susulan kenyataan itu, KPKT mengeluarkan respons balas yang sepatutnya menjelaskan
keadaan, namun nampaknya ia menempelak pula kemusykilan yang ditimbulkan," jelas Takiyuddin.
PAS pertimbang tindakan undang-undang
Setiausaha agung PAS juga mendakwa selepas kemerdekaan, tidak pernah berlaku kementerian-kementerian mahupun agensi-agensi kerajaan menganjurkan program-program perayaan keagamaan selain dari Islam secara terbuka di premis-premis kerajaan.
"Apatah lagi turut melibatkan pegawai dan kakitangan yang beragama Islam," katanya.
Takiyuddin juga mendakwa kenyataan Nga memburukkan keadaan, mencetuskan ketegangan yang tidak perlu, dan menimbulkan kontroversi baru di khalayak umum.
"PAS meletakkan liabiliti sepenuhnya kepada pemimpin DAP yang menjadi menteri ini sekiranya akibat keceluparannya akan mencetuskan ketegangan dan mengulangi sejarah hitam dalam negara yang tidak pun menguntungkan mana-mana pihak," katanya.
Takiyuddin juga menuduh Nga tidak menghormati kuasa institusi Islam dan melampaui bidang kuasanya, termasuk membuat tuduhan tidak berasas bahawa PAS “menghalang sambutan Krismas.”
"Dengan menyebut bahawa PAS bukan sahaja "sesat" tetapi "menyebarkan ajaran sesat", Nga
boleh dianggap turut melanggar hak dan sempadan kuasa serta kedudukan Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja sebagai ketua agama Islam, mencabar bidang kuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan pihak-pihak berkuasa agama yang bertanggungjawab ke atas penentuan status keagamaan mana-mana orang atau kumpulan orang Islam.
"Kuasa ini tidak dimiliki oleh orang atau pihak lain lebih-lebih lagi seorang bukan Islam," katanya.
Takiyuddin berkata menjadi tradisi PAS sejak sekian lama untuk memberikan ucapan selamat sempena perayaan agama dan kebudayaan, termasuk Krismas, sebagai tanda hormat terhadap kemajmukan kaum di Malaysia.
Berikutan tuduhan Nga, Takiyuddin mengumumkan PAS merancang untuk mengambil tindakan undang-undang, dengan menyifatkan kenyataan menteri itu sebagai fitnah.
Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas daripada Nga.