Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi dakwa Mkini 'tentera upahan'
Diterbitkan:  Dec 29, 2024 11:01 AM
Dikemaskini: 3:11 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa Malaysiakini sebagai "media upahan" pada tulisan panjang yang berjudul "Perjuangan memiggirkan Islam."

"Kita menyaksikan keruntuhan tabir besi negara Blok Timur dan tiada lagi Islamofobia di sana, di samping Islam menembusi benteng yang bernama Islamofobia di Blok Barat.

"Walaupun ada media upahan di Malaysia seperti yang berjenama Malaysiakini dan sekutunya yang menjadi tentera upahan cuba menutup secara halus, wajahnya yang sebenar tetap terbuka," katanya pada ruangan Minda Presiden PAS yang dikongsi di media sosialnya hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Hadi tidak menamakan pihak yang mengupah Malaysiakini. Untuk rekod pendapatan portal berita ini dibiayai hasil langganan pembaca dan iklan.

Ini bukan kali pertama Abdul Hadi menuding portal berita ini.

Presiden PAS pernah secara terbuka menamakan Malaysiakini sebagai platform yang “memuatkan berita dan tulisan yang meletakkan gambaran yang menentang Islam.”

Ketika itu, Abdul Hadi menuduh Malaysiakini "menyuruh kepada kejahatan dan menggalakkan kemungkaran."

"Memberi laporan bagi kalangan murtad dan sebagainya.

“Saya nasihatkan kepada penganut Islam yang bertugas dengannya supaya menarik diri,” katanya pada ruangan Minda Presiden PAS terbit di Harakahdaily 19 Mei 2023.

Abdul Hadi juga pernah menasihatkan umat Islam berwaspada pada zaman ini kerana wujudnya golongan syaitan yang menggunakan media, tentera upahan dan sukarelawan bagi menyebarkan maklumat dan tulisan menarik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS