Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal soal AG: Pengampunan Anwar ikut prosedur ker?
Diterbitkan:  Dec 29, 2024 10:05 AM
Dikemaskini: 2:15 AM

Kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) memperjelas permohonan Najib Razak untuk tahanan rumah mesti melalui Lembaga Pengampunan mencetuskan maklum balas keras pimpinan Umno.

Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh menyoal sama ada pengampunan Anwar Ibrahim pada tahun 2018 mengikuti prosedur yang betul atau tidak.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi pula mengkritik kenyataan AGC yang "terlambat", dengan mendakwa telah menyumbang kepada "defisit kepercayaan" yang semakin tidak dapat dipulihkan

Akmal mengemukakan soalan tajam kepada peguam negara susulan kenyataan AGC.

"Ketika PMX (Anwar Ibrahim) dapat pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ketika itu, ada ker dibawa ke lembaga pengampunan??

"Sebab ketika itu kabinet pun belum dibentuk lagi. Rakyat mampu menilai," tegasnya pada hantaran di media sosial.

Untuk rekod, Istana Negara mengesahkan Anwar diberikan pengampunan penuh pada 16 Mei 2018.

Pada waktu itu, Pengelola Bijaya Diraja, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menjelaskan melalui satu kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memberi perkenan kepada pengampunan tersebut berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan.

Wan Ahmad berkata rayuan pengampunan itu dibentang dan dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-51 pada 16 Mei 2018.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, mengikut nasihat Lembaga Pengampunan… telah mengisytiharkan bahawa rayuan untuk pengampunan penuh dan pembebasan serta-merta Anwar Ibrahim telah diperkenan," kata Wan Ahmad Dahlan.

Nasi jadi bubur

Sementara itu, Puad berkata surat Peguam Negara yang tular pada cuti umum berkenaan sepatutnya dikeluarkan setahun yang lalu ketika timbul laporan mengenai titah tambahan.

"Sekarang terlambat. Nasi sudah jadi bubur. Persepsi sudah terbina kuat.

"Titah addendum memang wujud. AG dituduh sembunyi fakta, AG tidak lagi bebas, AG dipengaruhi politik.

"Najib serta keluarganya mangsa pertuduhan tergesa gesa, racun dan penuh dendam," bidasnya.

AGC pada kenyataan semalam berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menetapkan semua permohonan pengampunan untuk kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan mesti mengikuti prosedur yang betul melalui Lembaga Pengampunan.

AGC menjelaskan ini untuk memastikan keputusan Yang di-Pertuan Agong, yang dibuat berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan, tidak dapat dicabar di mahkamah.

"Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan termasuk Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumahnya, permohonan berkenaan perkara tersebut hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang-undang," kata Jabatan Peguam Negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS