Dasar mewajibkan sijil halal terhadap perniagaan makanan dan minuman di Kelantan tidak terpakai kepada premis yang hanya khusus untuk pelanggan bukan Islam.
Menurut Sinar Harian hari ini, ia hanya wajib lesen bagi premis yang turut menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan beragama Islam.
Laporan itui memetik penjelasan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Hilmi Abdullah, susulan laporan menyatakan perniagaan makanan dan minuman di Kelantan dilaporkan akan diwajibkan memiliki sijil halal sebagai syarat utama untuk memperbaharui lesen perniagaan mereka.
Hari ini, Hilmi berkata dasar itu tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa tetapi telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan sejak 2016 dan diperhalusi oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan pada 2020.
"Mengikut data sepanjang 2024 sebanyak 453 premis yang diberikan SPHM (Sijil Pengesahan Halal Malaysia) di Kelantan dan daripada jumlah itu terdapat 48 produk milik bukan Islam dan sebanyak 198 premis sedang beroperasi di Kota Bharu.
"Pemilik tujuh kategori premis perniagaan tertentu di Kelantan diberikan notis awal keputusan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing sejak 2020 dan digalakkan untuk memohon SPHM kerana ia bukan wajib," katanya seperti dipetik.
Dia juga memberi jaminan produk tidak halal seperti hidangan daging babi masih boleh dijual di premis bukan Islam.
Semalam, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan, dan Hubungan Seranta Kelantan Mohd Asri Mat Daud berkata syarat yang telah dikuatkuasakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu dan akan diperluas kepada pihak berkuasa tempatan lain di negeri itu.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching dan ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Syahredzan Johan mengkritik dasar itu sebagai “sangat eksklusif dan bersifat diskriminasi” serta membebankan pengusaha kecil dan sederhana.
Susulan itu, Presiden Gerakan Dominic Lau berkata dia telah menghubungi Mohd Asri dan dimaklumkan peraturan itu khusus mensasarkan pengendali makanan Islam dan pengendali bukan Islam yang sudah memiliki sijil halal.
Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia menyifatkan dasar itu sebagai beban tambahan dan menambah kos perniagaan serta menggesa kerajaan negeri untuk mempertimbangkannya semula.
Sementara itu, Kwongwah Yitpoh memetik Pengerusi DAP Lim Guan Eng, yang berkata penjelasan mengenai dasar itu seharusnya datang daripada ahli exco Kelantan, bukannya Lau.
“Kenyataan daripada Lau tidak boleh diambil kira. Ia hanya sah jika datang daripada ahli exco,” katanya.