Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Sambutan tahun baru Sabah tak akan halang himpunan antirasuah’
Diterbitkan:  Dec 28, 2024 5:13 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Acara sambutan tahun baru yang akan berlangsung di luar Bangunan Pentadbiran Negeri Sabah. tidak akan menghalang protes antirasuah yang dijadualkan pada masa dan tempat yang sama, kata Sekretariat Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah.

Ia walaupun Jabatan Kerja Raya Sabah telah mengeluarkan notis penutupan jalan di kawasan sekitar bagi memberi laluan kepada sambutan itu.

“Sekretariat Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah tetap meneruskan perhimpunan ini tanpa kompromi. Ini adalah simbol kemarahan dan kemuakan rakyat yang sudah terpendam lama akibat isu rasuah yang melibatkan bukan sahaja politikus-politikus kerajaan hari ini, juga daripada pihak pembangkang.

“Pihak Sekretariat sudah menyusun dengan sangat teliti dan tahap kebersediaan yang tinggi untuk memastikan perhimpunan ini berjalan lancar,” kata sekretariat itu dalam kenyataan hari ini.

Pada 20 December lalu, Kumpulan pelajar Suara Mahasiswa UMS mengumumkan akan mengadakan protes ambang tahun baru bagi membangkitkan isu dakwaan rasuah di negeri itu.

Mereka antara lain menuntut Hajiji Noor meletakkan jawatan sebagai ketua menteri dan mendesak SPRM agar mempercepat siasatan berhubung skandal rasuah yang melibatkan pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah.

Protes itu dijadual bermula pada jam dua petang di luar kampus Universiti Malaysia Sabah, di mana penganjur menjangkakan sekitar 10,000 orang akan menyertai perarakan sejauh 2.5km menuju pusat pentadbiran negeri di Kota Kinabalu.

Satu lagi kumpulan - Himpunan Aman Bangkit Sabahan - dikatakan merancang himpunan balas pada hari dan lokasi yang sama.

Penutupan jalan

Bagaimanapun, sejak sekurang-kurangnya 25 Disember lalu, Unit Pemimpin Pembangunan Sabah (UPPM) di bawah Jabatan Ketua Menteri telah membuat hebahan berkenaan Karnival Ambang Tahun Baru yang akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga enam petang pada hari tersebut.

Menurut poster promosinya, acara tersebut akan menampilkan pelbagai aktiviti seperti cabutan bertuah, persembahan, pertandingan mewarna dan trak makanan.

Semalam pula, Jabatan Kerja Raya Sabah mengeluarkan notis untuk memaklumkan beberapa jalan berhampiran pusat pentadbiran negeri akan ditutup dari jam sembilan malam pada 30 Disember hingga 11.59 malam pada 31 Disember.

Selain itu, ia menyatakan laluan keluar dan masuk kawasan tersebut akan dikawal oleh pihak polis.

“Orang awam dinasihatkan mematuhi arahan polis yang akan mengawal lalu lintas di lokasi,” katanya.

Mengulas perkembangan itu, Sekretariat perhimpunan Gempur Rasuah Sabah mempersoalkan tindakan mempromosikan acara itu hanya beberapa hari sebelum ia berlangsung, dan tanpa menyertakan nama individu yang akan merasmikannya.

“Jelas bahawa karnival ini diadakan hanya kerana kami, mahasiswa dan rakyat Sabah akan berhimpun melawan kerosakan yang berlaku di negeri ini,” katanya.

Sekretariat turut mendakwa penganjur sebagai mengadakan acara itu secara “serkap jarang” dan tidak prihatin kerana mengadakan aktiviti seperti pertandingan mewarna yang pasti menarik kanak-kanak, walaupun dengan himpunan yang akan diadakan.

“Ini akan merisikokan keselamatan keluarga terutamanya anak-anak kecil. Adakah penganjur lebih mementingkan karnival ‘prop’ ini untuk menghalang perhimpunan lebih dari keselamatan rakyat?” soalnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS