Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

KOMENTAR | Hukum sebat tanpa mencederakan ke atas penzina memang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Itupun dengan syarat dan peraturan ketat yang ditetapkan. Kes itu hendaklah disaksikan oleh empat orang saksi yang dipercayai yang benar-benar menyaksikan kemaluan lelaki masuk ke dalam faraj perempuan yang terbabit.

Dalam kata lain, hampir mustahil untuk kita menemui pasangan berzina membiarkan empat orang saksi yang baik menonton perzinaan mereka melainkan pasangan tersebut memang pejuang zina secara terbuka.

Jika tidak, kes zina hanya boleh sabit dengan pengakuan yang berterusan oleh pelaku zina meminta dia dihukum sedangkan pihak mahkamah pula berusaha mengelakkan hukuman.

Adapun qarinah (kaitan bukti) zina, itu banyak jalan keluar agar tidak dihukum.

Mohd Affendi Awang, 42, yang juga seorang duda dihukum dengan enam kali sebatan atas kesalahan khalwat berulang pada 27 Disember lalu di di dewan Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.

Kesimpulannya, Islam anti gosip dan tidak suka perlaksanaan hukuman zina melainkan ternyata seseorang itu memang penzina tegar secara terang tanpa selindung, atau dia sendiri benar-benar menuntut dirinya dihukum.

Adapun penuduh orang lain zina tanpa bukti yang ditetapkan syarak, lebih mudah untuk disebat di khalayak ramai dibandingkan penzina sendiri.


BACA BERKAITAN:

PAS gesa negeri lain laksana hukum sebat di khalayak ramai

Duda selesai disebat 6 kali disaksikan 90 orang di Terengganu

ULASAN | Adakah sebat di T'ganu patuh undang-undang, syarak?

Badan Peguam gesa undang-undang sebat di khalayak ramai dikaji semula


Jelas, Islam anti mulut celupar dan suka menjadikan dosa peribadi antara hamba dengan Allah semata sebagai bahan masyarakat.

Pemerintah pula dituntut oleh Islam agar menutup ruang dosa peribadi dijadikan bahan mainan rakyat. Banyak nas Islam dalam hal itu jika hendak dibahaskan.

Tegur pemerintah bukan bantah Islam

Adapun khalwat, tiada penetapan syarak menyuruh mereka disebat di khalayak ramai.

Bahkan, menyebat kes seperti itu di khalayak ramai dibimbangi bercanggahan dengan kehendak syarak yang menyuruh menutup keaiban peribadi individu.

Maka, menyebat kesalahan khalwat di khalayak ramai bukan hukum Allah dan RasulNya, ia hanyalah pilihan penguasa semata.

Di bawah takzir yang merupakan ijtihad pemerintah yang mungkin salah dan betul.

Maka, membantah hukuman itu hanyalah membantah keputusan pemerintah, bukan membantah ajaran Islam.

Jangan ada yang terlebih lajak menganggap orang tidak bersetuju dengan hukuman itu tidak bersetuju dengan Islam.


MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN mufti Perlis.

Tulisan ini disiarkan kali pertama di Facebooknya dengan tajuk asal “Sebat khalwat di khalayak ramai?” Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS