Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS gesa negeri lain laksana hukum sebat di khalayak ramai
Diterbitkan:  Dec 28, 2024 1:05 PM
Dikemaskini: 5:05 AM

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menyarankan negeri-negeri lain, khususnya yang diperintah oleh parti itu untuk mencontohi Terengganu dengan melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai bagi pesalah syariah.

Hashim mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Terengganu dan menggesa negeri-negeri lain, termasuk yang majoritinya tidak diperintah oleh PAS, untuk turut melaksanakan suruhan Allah SWT.

Hashim dipetik media tempatan berkata hukuman sebat di khalayak ramai ini hanyalah permulaan dan dengan mematuhi suruhan Allah SWT melaksanakan undang-undang Islam maka keberkatan akan dilimpahkan.

Menurutnya, hukuman sebat di khalayak ramai ini bukanlah kejam atau memalukan tetapi berfungsi untuk meningkatkan kesedaran, bukan sahaja kepada pesalah tetapi juga kepada orang awam yang menyaksikan hukuman tersebut.

Kerajaan Perlis bagaimanapun belum lagi mengadakan sebarang perbincangan mengenai pelaksanaan hukuman seperti ini.

Semalam, seorang pesalah syariah berulang menjadi individu pertama yang menjalani hukuman sebatan di khalayak ramai di dewan Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.

Mohd Affendi Awang, 42, seorang duda, dijatuhi hukuman enam kali sebatan selepas sabitan ketiganya atas kesalahan khalwat.

Affendi mengaku bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Pindaan) Terengganu 2022.

Selain Terengganu, negeri-negeri yang diperintah oleh PAS atau gabungan Perikatan Nasional (PN) termasuk Kelantan, Kedah, dan Perlis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS