Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tolong bungkus pakej' - RM400k dikait timbalan ketua menteri

EKSKLUSIF | Pemberi maklumat dalam skandal rasuah Sabah mendedahkan tangkap layar mesej WhatsApp bersama butiran masa dan lokasi transaksi yang didakwa berkaitan dengan pembayaran RM400,000 kepada Timbalan Ketua Menteri III, Shahelmey Yahya.

Shahelmey juga merupakan menteri kerja raya negeri, Ahli Parlimen Putatan, dan Adun Tanjung Keramat.

Menurut pemberi maklumat, RM400,000 tersebut didakwa sebahagian daripada rasuah RM1 juta yang dijanjikan untuk lesen penerokaan mineral yang “dihadiahkan” kepada Shahelmey oleh Ketua Menteri Hajiji Noor sebagai balasan atas sokongannya semasa krisis politik negeri pada tahun 2023.

Dalam salah satu daripada enam tangkapan layar WhatsApp perbualan mereka, terdapat mesej berbunyi: “Good evening datuk/bro. Tolong bungkus/wrap pakej untuk besok ya.”

Pemberi maklumat mendakwa “pakej” merujuk kepada wang tunai RM200,000.

Pemberi maklumat turut mendakwa wang RM1 juta tersebut akan dibayar secara berperingkat - RM200,000 atau 20 peratus selepas memperoleh “nota sokongan dalam minit mesyuarat daripada ketua menteri” dan RM200,000 lagi selepas “memperoleh surat kelulusan daripada Sabah Mineral Management (SMM)”.

Baki 60 peratus atau RM600,000 didakwa akan dibayar setelah “menerima lesen asal daripada Jabatan Tanah dan Ukur”.

Sebelum ini, Malaysiakini menyiarkan sebuah video memaparkan Shahelmey, semasa perbincangan dengan pemberi maklumat mengenai jumlah wang, turut mengaitkan ketua menteri.

Pemberi maklumat mendakwa beberapa Adun telah disogok untuk mendapatkan lesen penerokaan mineral.

Dia juga mendakwa dana tersebut pendahuluan daripada pelabur yang disediakan khusus untuk memudahkan sogokan bagi mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral.

Pada Selasa, peguam pemberi maklumat Muhammad Shafee Abdullah mengumumkan anak guamnya memutuskan untuk mendedahkan mesej WhatsApp dan “bukti” sokongan lain untuk menolak dakwaan dana tersebut sumbangan politik.

Peguam kanan itu juga berkata anak guamnya merancang untuk membuat laporan kepada SPRM dan menyerahkan bukti tambahan yang dimilikinya.

Berikut butiran transaksi yang didakwa melibatkan Shahelmey dan tangkapan layar WhatsApp tersebut.

Malaysiakini menyunting lima angka terakhir nombor telefon bimbit Adun tersebut, tetapi boleh mengesahkan nombor itu miliknya.

Tunai RM400,000, ‘saham percuma’ 10%

Menurut pemberi maklumat, RM200,000 pertama diserahkan pada 19 Feb 2023, sekitar jam 5 petang di Grand Hyatt Hotel, Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

RM200,000 lagi didakwa dihantar pada 18 Mei 2023, sekitar jam 11.30 pagi di Pejabat Menteri Kerja Raya Sabah di Kota Kinabalu.

Pemberi maklumat turut mendakwa bahawa Shahelmey meminta 10 peratus saham "percuma" dalam syarikat yang memohon lesen penerokaan mineral sebagai ganjaran atas bantuannya.

Malaysiakini telah menghubungi Shahelmey untuk mendapatkan maklum balas.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS