Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Derma bayar denda: PAS tanggungjawab atas keterlanjuran ahli
Diterbitkan:  Dec 28, 2024 11:08 AM
Dikemaskini: 3:35 AM
2

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata Islam mengajarkan umatnya untuk mengambil tanggungjawab atas kesilapan yang dilakukan oleh anggota sesuatu kumpulan.

Dia memberikan contoh bagaimana Nabi Muhammad SAW mengambil tanggungjawab agar umat Islam pada zamannya bertanggungjawab membayar pampasan kepada keluarga tahanan perang yang telah dibunuh secara salah oleh anggota pasukannya.

"Kejadian ini bukan bermakna Islam membenarkan perjuangan jahiliah, tetapi mengaku salah kerana kesilapan melampau ahlinya. Namun, Islam tetap menolak perjuangan yang sesat.

"Janganlah didengari syaitan yang bersuara, khususnya kalangan yang berwalak kepada DAP kerana akan merosakkan wajah Islam laksana kera merosakkan bunga yang cantik.

"Begitulah PAS mengambil tanggungjawab atas ketelanjuran ahlinya yang membuat apa-apa tindakan yang salah, sehingga dihukum dengan bayaran atau denda," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi menegaskan PAS tetap beristiqamah bersama aqidah perjuangannya dan percaya kepada keampunan Allah dan pahala bertaubat.

"Inilah perkara yang tidak terdapat dalam perjuangan yang lain selain daripada perjuangan Islam.

"Percayalah bahawa sumbangan kita bersama Islam dalam semua perkara adalah jihad," katanya.

Walaupun tidak menyebut secara khusus, kenyataan Hadi itu muncul di tengah usaha kutipan derma PAS membantu Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad (gambar atas) untuk membayar RM825,000 dalam bentuk ganti rugi kepada pemimpin DAP.

Ini selepas dia kalah dalam kes saman fitnah kerana menuduh Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng mempunyai kaitan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (CPM) Chin Peng manakala Teresa Kok pula mempunyai kaitan dengan keluarga Lim.

Menurut satu pekeliling dalaman PAS, pemimpin Jawatankuasa Pusat PAS, ketua negeri, kawasan dan cawangan diwajibkan menderma sekurang-kurangnya RM500 setiap seorang.

PAS negeri serta sayap di peringkat pusat, negeri dan kawasan pula setiap satu diminta mengumpulkan derma sekurang-kurangnya RM20,000.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin (gambar atas), pada Selasa lalu dipetik Sinar Harian berkata kutipan derma tersebut memang wujud.

Mastura telah diberikan penangguhan sementara pelaksanaan pembayaran ganti rugi sementara menunggu perbicaraan mahkamah pada akhir Januari untuk mendapatkan penangguhan penuh terhadap hukuman tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS