Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rauf sahkan rombakan exco Melaka
Diterbitkan:  Dec 28, 2024 8:48 AM
Dikemaskini: 12:48 AM

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan bakal berlaku rombakan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri, namun tiada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang digugurkan jawatan.

Beliau berkata rombakan itu hanya membabitkan pertukaran portfolio dalam kalangan Exco sedia ada, selain tiada lantikan baru dalam barisan pentadbiran di negeri berkenaan.

“Saya mengekalkan Exco sedia ada. Portfolio mereka sahaja yang berubah. Langkah ini diambil bagi meringankan beban mereka kerana ada yang memegang empat atau lima portfolio,” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, di Melaka, semalam.

Ab Rauf berkata penyelarasan portfolio selepas rombakan juga dilihat lebih seimbang dan meringankan beban Exco, sekali gus membolehkan mereka berkhidmat dengan lebih baik, selari dengan komitmen kerajaan negeri kepada rakyat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar baru-baru ini, yang mendakwa rombakan MMK akan berlaku pada Januari ini, kononnya antara lain bagi menaikkan wakil rakyat yang lain.

Barisan Exco Melaka terdiri daripada sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan seorang Adun Pakatan Harapan (PH).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS