Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, meluahkan kesedihan mendalam atas pemergian sahabat karibnya, bekas perdana menteri India, Dr Manmohan Singh.
Anwar menyifatkan mendiang sebagai tokoh besar yang bukan sahaja menjadi arkitek kepada reformasi ekonomi India, tetapi juga berperanan penting dalam memacu negara itu muncul sebagai salah satu kuasa ekonomi dunia.
“Mendiang Dr Manmohan Singh akan diingati sebagai pemimpin yang sedikit canggung sebagai ahli politik, tetapi teguh dan berintegriti sebagai negarawan.
“Legasinya akan terus menginspirasi generasi masa depan,” kata Anwar dalam satu kenyataan di media sosial.
Kenangan bersama
Mengimbau hubungan mereka, Anwar berkata dia berpeluang menyaksikan sendiri peringkat awal pelaksanaan dasar transformasi ekonomi India ketika kedua-duanya menjawat jawatan menteri kewangan pada tahun 1990-an. Mereka turut bekerjasama dalam beberapa isu penting, termasuk usaha membanteras rasuah.
Namun, apa yang paling menyentuh hati Anwar ialah tindakan luar biasa Dr Manmohan Singh ketika dirinya dihumban ke penjara.
“Tidak ramai yang tahu perkara ini, tetapi sudah tiba masanya saya berkongsi dengan rakyat Malaysia: semasa saya di penjara, beliau menunjukkan satu kemurahan hati yang luar biasa.
“Walaupun tidak perlu, dan mungkin tidak disenangi oleh kerajaan Malaysia ketika itu, beliau tetap melakukannya,” kata Anwar.
Menurut Anwar, Dr Manmohan Singh menawarkan biasiswa kepada anak-anaknya, khususnya Ihsan, sebagai tanda persahabatan dan sokongan. Walaupun Anwar menolak tawaran tersebut, dia tetap terharu dengan keikhlasan dan kebaikan sahabatnya itu.
“Dalam saat-saat gelap ketika saya terkurung, beliau berdiri teguh sebagai seorang sahabat sejati. Sikap mulia dan kemurahan hati seperti ini akan sentiasa terpahat dalam ingatan saya,” ujarnya.
Perpisahan yang mengharukan
Mengakhiri kenyataannya, Anwar mengucapkan selamat tinggal kepada sahabat karib yang dianggapnya seperti saudara sendiri.
“Selamat tinggal, mitra (sahabat), bhai (saudara) saya, Manmohan,” tulisnya penuh emosi.
Anwar menambah Dr Manmohan Singh meninggalkan legasi besar sebagai pemimpin yang berwibawa, dan sumbangannya kepada dunia, khususnya dalam bidang ekonomi, akan terus dikenang.
Manmohan meninggal dunia malam Khamis pada usia 92 tahun. Pemimpin yang berkhidmat sebagai perdana menteri India ke-13 dari 2004 hingga 2014 itu menghembuskan nafas terakhirnya di All India Institute of Medical Sciences (AIIMS), New Delhi.