EKSKLUSIF l Pemberi maklumat dalam skandal rasuah Sabah mendakwa Adun Kemabong, Rubin Balang, membuat kenyataan yang mengelirukan berkaitan kepentingan perniagaannya.
Pemberi maklumat dalam skandal rasuah Sabah mendakwa Adun Kemabong, Rubin Balang, membuat kenyataan yang mengelirukan berkaitan kepentingan perniagaannya.
Menurut pemberi maklumat itu, Rubin masih mempunyai pengaruh besar dalam sebuah syarikat perlombongan arang batu, walaupun dia sebelum ini mendakwa telah melepaskan jawatan dalam syarikat tersebut selepas dilantik menjadi pengerusi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sabah (Sedco) pada Disember 2020.
Dokumen dedah pegangan saham Rubin
Pemberi maklumat tersebut menuduh Rubin, dalam video yang diterbitkan Malaysiakini pada 13 November, cuba menyembunyikan penglibatannya dengan syarikat Wawasan Pembangunan Desa Permai Sdn Bhd.
“Saya periksa syarikat Datuk (Rubin),” kata pemberi maklumat dalam video itu.
“Saya nampak nama anak-anak Datuk, tetapi beberapa bulan sebelum itu, yang ada nama Datuk.”
Rubin dalam rakaman itu menjawab bahawa dia terpaksa melepaskan jawatan berikutan pelantikannya sebagai pengerusi Sedco yang memberi dirinya status setaraf menteri, lengkap dengan gaji dan keistimewaan.
Bagaimanapun, pemberi maklumat itu mendakwa dokumen terkini menunjukkan Rubin masih memegang 58 peratus saham syarikat tersebut sehingga Mac 2023. Selebihnya, 42 peratus saham dipegang oleh salah seorang anaknya, dengan kedua-dua anak Rubin disenaraikan sebagai pengarah syarikat itu.
Lesen perlombongan syarikat itu, meliputi kawasan seluas 2,000 hektar di Tongod, diluluskan oleh Jabatan Tanah dan Ukur pada 14 Julai 2022, menurut dokumen yang ditunjukkan kepada Malaysiakini.
Konflik kepentingan?
Pemberi maklumat turut menegaskan bahawa peraturan melarang Adun, khususnya yang memegang jawatan setaraf menteri, daripada terlibat dalam aktiviti perniagaan yang boleh menimbulkan konflik kepentingan.
Dalam video yang sama, pemberi maklumat itu mendakwa telah menawarkan RM3 juta kepada Rubin untuk membeli syarikatnya, namun tawaran itu ditolak mentah-mentah oleh Rubin yang menyifatkannya sebagai “membazir masa saya”.
Lesen “Hadiah Politik”
Rakaman itu turut mendedahkan bahawa Rubin mengakui memohon dua lesen penerokaan perlombongan daripada Ketua Menteri Hajiji Noor, tetapi hanya diberikan satu lesen.
Pemberi maklumat itu mendakwa lesen penerokaan mineral seperti itu diberikan sebagai “hadiah” kepada beberapa Adun semasa krisis politik Sabah pada 2022 untuk mendapatkan sokongan mereka terhadap pentadbiran Hajiji.
Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas daripada Rubin.
Sebelum ini, Rubin yang juga naib presiden Gagasan Rakyat Sabah menjelaskan bahawa prosedur mendapatkan kelulusan operasi perlombongan di Sabah adalah rumit dan mengambil masa bertahun-tahun.
“Anak sulung saya (bukan Ahli Parlimen Tenom Riduan Balang) mempunyai latar belakang dan pengetahuan dalam bidang perlombongan,” jelas Rubin.
“Beliau telah membuat permohonan semasa pentadbiran Musa Aman, tetapi ketika itu tiada jabatan atau jawatankuasa khusus yang ditubuhkan.”
Rubin juga berkata, walaupun usaha mempercepatkan proses dilakukan dengan penubuhan jabatan baharu oleh kerajaan negeri, namun kos untuk mendapatkan kelulusan masih tinggi dan membebankan.