Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu menghormati bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkaitan pemilikan sijil halal, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.
Sehubungan itu, katanya, PBT tidak boleh mengenakan syarat wajib kepada peniaga untuk mendapatkan sijil halal bagi memperbaharui lesen perniagaan mereka.
“Saya tegaskan tidak boleh paksa (peniaga untuk mendapatkan sijil halal), kita (cuma boleh) menggalakkan.
“Saya nasihatkan PBT harus hormati, minta nasihat daripada Jakim,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan program Sentuhan Kejayaan KPKT 2024 di Meru Raya di Ipoh hari ini.
Jemaah menteri sebelum ini membuat ketetapan iaitu kerajaan hanya menggalakkan pengusaha perniagaan berasaskan makanan dan minuman untuk memohon sijil halal tanpa sebarang paksaan.
Nga berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan negeri Kelantan yang mensyaratkan pemilik dan pengusaha premis makanan serta minuman supaya memiliki sijil halal sebagai syarat utama untuk memperbaharui lesen perniagaan mereka.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan, dan Hubungan Seranta Kelantan Mohd Asri Mat Daud dilaporkan berkata syarat itu sudah dikuatkuasakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu dan akan diperluas kepada pihak berkuasa tempatan lain di negeri itu.
Mengulas lanjut Nga berkata, cadangan mewajibkan peniaga makanan dan minuman memiliki sijil halal dilihat agak membebankan terutama bagi peniaga kecil.
Katanya, mereka itu akan terpaksa mengeluarkan kos tambahan.
“Kos sijil halal pun beribu-ribu ringgit, selepas itu untuk perbaharui sijil tersebut tertakluk pula kepada audit tahunan dan proses ini pun perlukan bayaran juga.
“Lagipun negara kita berbilang kaum, perlu juga ambil kira keperluan pengusaha bukan Melayu yang menjual makanan tidak halal,” katanya lagi.