Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Gempur Rasuah Sabah’ kongsi peta perarakan, jangka 10,000 hadir
Diterbitkan:  Dec 27, 2024 1:53 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

Perhimpunan aman Gempur Rasuah Sabah yang dijadualkan pada 31 Disember ini dijangka menarik kehadiran sehingga 10,000 peserta dari seluruh negara, termasuk komuniti yang pulang dari Semenanjung Malaysia, Sandakan, Tawau, dan Keningau.

Sekretariat perhimpunan itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa sentimen hangat di media sosial menunjukkan rakyat Sabah serius menyuarakan bantahan terhadap krisis rasuah yang didakwa mencemar maruah negeri tersebut.

“Perhimpunan ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu gesaan tegas daripada rakyat yang mahukan perubahan dan tindakan tegas terhadap gejala rasuah,” menurut kenyataan itu.

Peta perarakan

Menurut sekretariat, peta perarakan perhimpunan telah diserahkan kepada pihak polis bersama notis rasmi pada 19 Disember lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. Difahamkan, Suara Mahasiswa merupakan satu-satunya pihak yang menyerahkan notis untuk mengadakan perhimpunan di hadapan Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Bagi memastikan perhimpunan itu bebas daripada unsur politik, peserta diingatkan untuk tidak memakai pakaian atau membawa sepanduk yang mempromosikan parti politik. Sebaliknya, mereka digalakkan mengenakan pakaian tradisional mengikut etnik masing-masing atau pakaian bertema antirasuah.

“Peserta juga bebas membawa kain rentang atau sepanduk yang menyampaikan mesej antirasuah dan ekspresi kemarahan, selagi ia tidak mengandungi elemen politik,” tambah kenyataan itu.

Pemantauan oleh Suhakam

Sekretariat itu turut memaklumkan bahawa surat rasmi telah dihantar kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk memantau perhimpunan tersebut. Pesuruhjaya Suhakam dijangka menjalankan peranan mereka dalam memastikan perhimpunan berlangsung selaras dengan prinsip hak asasi manusia.

“Sebagai sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Suhakam memainkan peranan penting dalam memantau pelaksanaan hak rakyat untuk berhimpun secara aman,” jelas kenyataan itu.

Kehadiran dijangka menggalakkan

Dengan krisis rasuah yang semakin mendapat perhatian rakyat, perhimpunan ini dilihat sebagai platform penting untuk menyatukan suara rakyat Sabah. Sekretariat tersebut optimis bahawa sasaran kehadiran 10,000 peserta akan tercapai berdasarkan sokongan yang diterima sehingga kini.

Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah diharapkan menjadi satu peringatan kepada pihak berkuasa untuk bertindak lebih tegas dalam menangani isu rasuah yang terus membelenggu negeri ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS