Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh akan membuat laporan polis berhubung video dan mesej yang tersebar selepas mahkamah menolak saman fitnah yang dikemukakannya terhadap bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan.
Yeoh berkata dia dimaklumkan mengenai mesej WhatsApp dan video yang mempolitikkan keputusan mahkamah itu, yang secara palsu mendakwa dia berniat untuk memurtadkan umat Islam kepada agama Kristian dan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Kristian.
“Tiada yang dapat menyembunyikan kebenaran. Saya menghormati dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
"Terdapat sekatan undang-undang yang jelas terhadap penyebaran agama selain Islam kepada orang Islam di Malaysia. Saya telah mengangkat Sumpah Jawatan dan bersumpah untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah sumpah yang saya ambil dengan serius dan akan patuhi setiap masa.
"Satu laporan polis akan dibuat berhubung video/mesej fitnah ini yang menjejaskan rayuan saya,"katanya.
Yeoh mengesahkan bahawa peguamnya telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 26 Disember dan diarahkan untuk memohon agar rayuan didengar segera.
“Saya dimaklumkan oleh peguam saya bahawa masih tiada alasan penghakiman bertulis penuh yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.
“Hanya alasan ringkas yang disenaraikan melalui sistem e-review mahkamah pada 23 Disember 2024. Oleh itu, adalah tidak wajar pada ketika ini untuk membuat kesimpulan mengenai keputusan penuh Mahkamah Tinggi dan alasan-alasannya,”jelasnya.
Dia menyeru semua pihak untuk menghormati proses kehakiman dan mengelakkan tindakan yang melanggar undang-undang atau menjejaskan haknya di mahkamah.
“Seperti yang telah berlaku banyak kali dalam kerjaya politik saya, kepercayaan agama saya sekali lagi dijadikan bahan politik oleh pelampau agama. Saya menyeru semua pihak untuk bertegas menentang usaha ini dan tidak menyebarkan mesej tersebut apabila melihatnya secara dalam talian,” tegasnya.
Saman fitnah
Yeoh, yang juga Menteri Belia dan Sukan, memfailkan saman fitnah terhadap Musa berhubung kenyataan yang dibuat oleh bekas ketua polis negara itu semasa forum di UiTM pada 30 Januari 2020.
Dalam tuntutannya, Yeoh mendakwa bahawa Musa, dalam ucapannya, menuduh dia menulis buku “Becoming Hannah” untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Kristian, mempunyai hubungan dengan evangelis dan Yahudi untuk melemahkan Islam serta Malaysia, dan mengutamakan kepentingan peribadi berbanding negara.
Dia mendakwa kenyataan Musa adalah palsu, tidak berasas, dan dibuat dengan niat jahat untuk mencemarkan reputasinya.
Bagaimanapun Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Arziah Mohamed Apandi, memutuskan bahawa plaintif gagal membuktikan kenyataan defendan adalah fitnah.
"Saya mendapati dalam kes ini, forum di mana kenyataan itu dibuat adalah satu keadaan berkepentingan istimewa, tiada niat jahat dibuktikan dan defendan mempunyai alasan munasabah untuk kenyataannya berdasarkan pengakuan plaintif dan tulisannya (dalam buku ‘Becoming Hannah’) serta penerbitan (kenyataan defendan) adalah di luar kawalannya," katanya.
Arziah turut menyatakan bahawa hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dilindungi secara teguh, terutama dalam isu berkaitan kepentingan awam dan kenyataan yang dibuat dalam keadaan berkepentingan istimewa.