Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menasihatkan pemimpin PAS supaya bertaubat dan tidak merosakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menerusi satu kenyataan media, hari ini, pemimpin DAP itu juga menasihatkan rakyat agar menjauhi pihak-pihak yang menggunakan agama untuk kepentingan politik dan menimbulkan perpecahan.
“Saya menasihatkan parti PAS agar bertaubat dan tidak terus menyebarkan fitnah.
“Saya baru sahaja menerima permohonan maaf dan bayaran guaman RM5,000 daripada Pesuruhjaya PAS Perak atas fitnah yang dilemparkan kepada saya,” kayanya.
Walaupun tidak menyebut secara jelas, Nga dipercayai merujuk kepada permohonan maaf daripada Razman Zakaria berhubung fitnah mengaitkan Pengerusi DAP Perak itu dengan insiden mengibar bendera negara China di Teluk Intan, Oktober lalu.
Razman dilaporkan berkata, dia terkhilaf dan terkeliru antara dua program yang dirasmikan oleh Nga pada tarikh 13 Sept dan satu program pada 24 Okt yang melibatkan insiden kibaran bendera negara China itu.
Terbaru, semalam Naib Ketua Pemuda PAS, Muhammad Hanif Jamaluddin, dalam satu hantaran di Facebook mempersoalkan video nyanyian lagu Krismas yang menunjukkan beberapa orang Islam turut berada dalam kalangan penonton di kementerian yang diterajui Nga.
Katanya, Nga sebagai menteri bertanggungjawab sepatutnya tahu bahawa adalah haram bagi umat Islam untuk terlibat dalam perayaan agama lain yang bercanggah dengan akidah Islam.
Mengulas dakwaan itu, Nga berkata video yang tular baru-baru itu menunjukkan kakitangan KPKT menyanyikan lagu Krismas, dan ramai di antara mereka adalah dari Sabah dan Sarawak, khususnya yang berketurunan Kadazan.
“Ini mencerminkan semangat hormat-menghormati dan keharmonian di antara kakitangan kami, yang menjadi prinsip asas sebuah kerajaan yang baik.
“Kepelbagaian budaya adalah kekuatan dan keistimewaan negara kita, khususnya dalam masyarakat berbilang kaum.
“Oleh itu, kita harus menjunjung tinggi prinsip meraikan kepelbagaian. Kerajaan Madani juga sentiasa meraikan kepelbagaian sambil memupuk semangat muhibah,” katanya.
Nga menjelaskan sejak diberikan amanah sebagai menteri KPKT, kementerian itu telah meraikan semua perayaan utama negara, bermula dengan Aidilfitri, dikuti Deepavali, dan kini sambutan Krismas serta Tahun Baru.
Malah, katanya, bulan depan, mereka akan menyambut Tahun Baru Cina.
“Kami menghormati umat Islam dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri, dan pada masa sama, menghormati warga Kristian dalam menyambut Krismas.
“Hormat dan ihsan adalah dua prinsip utama yang menjadi tunjang pentadbiran kami,” katanya.
Nga berkata, dia juga mengikuti kenyataan parti PAS yang mengucapkan selamat menyambut Krismas kepada warga Kristian. Namun, pada masa yang sama, katanya, mereka cuba menyekat sambutan Krismas di tempat lain.
“Ini jelas menunjukkan sikap hipokrit. Saya menasihatkan rakyat Malaysia agar menjauhi pihak-pihak yang menggunakan agama untuk kepentingan politik dan menimbulkan perpecahan.
“Kita perlu menghayati titah Yang di-Pertuan Agong, yang menegaskan bahawa kepelbagaian budaya adalah keistimewaan tanah air kita,” katanya.
Nga juga berikrar akan terus meraikan pelbagai perayaan bersama semua lapisan masyarakat, termasuk menjemput pemimpin PAS untuk hadir pada sambutan Aidilfitri nanti.
“Semoga mereka turut membawa kompang dan menyertai kita dalam semangat perpaduan,” katanya lagi.