Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nga pertahan nyanyian Krismas, persoal PAS tentang ‘hormat’
Diterbitkan:  Dec 27, 2024 11:11 AM
Dikemaskini: 3:14 AM

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menyelar seorang pemimpin Pemuda PAS yang mengkritik nyanyian lagu Krismas di kementeriannya di Putrajaya.

Menurut Sin Chew Daily, Nga dalam respons ringkas terhadap Pemuda PAS berkata: “Adakah PAS tahu menulis perkataan hormat?”

Laporan tersebut juga menyatakan Nga dijangka akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung perkara itu.

Semalam, Naib Ketua Pemuda PAS, Muhammad Hanif Jamaluddin, dalam satu hantaran di Facebook mempersoalkan video nyanyian lagu Krismas yang menunjukkan beberapa orang Islam turut berada dalam kalangan penonton.

Dia berkata, Nga sebagai menteri bertanggungjawab sepatutnya tahu bahawa adalah haram bagi umat Islam untuk terlibat dalam perayaan agama lain yang bercanggah dengan akidah Islam.

Video tersebut merupakan klip pendek yang telah disunting, berdurasi kira-kira satu setengah minit, yang dimuat naik oleh Nga pada malam Krismas lalu.

Video itu memaparkan kakitangan di kementeriannya menyanyikan lagu “Jingle Bells” – sebuah lagu mengenai keseronokan menaiki kereta luncur di salji – dan lagu “We Wish You a Merry Christmas”.

Sementara itu, beberapa orang pemimpin DAP turut menyelar Hanif atas kenyataannya dengan membandingkan ucapan perayaan Krismas oleh Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Tiga ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP – Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan; dan Sheikh Umar Bagharib Ali – dalam satu kenyataan menegaskan kenyataan bercanggah antara Hanif sebagai pemimpin pemuda dan Takiyuddin sebagai pemimpin senior.

"Kenyataan tersebut bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang menyambut baik perayaan Hari Natal atas “…kesan positifnya ke arah pembinaan masyarakat Malaysia yang lebih berkualiti atau bermoral bersandarkan nilai keagamaan luhur serta suci.”

"Percanggahan ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat percubaan untuk memberi gambaran bahawa ianya parti yang inklusif, namun sebenarnya rata-rata kepimpinan PAS tidak menghormati hak rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

"Jelas bahawa semua yang terlibat dengan persembahan adalah mereka yang menyambut Hari Natal, terutama sekali mereka dari Sabah dan Sarawak, dan tiada yang dipaksa untuk menghadiri majlis tersebut,” tegas mereka.

Mengulas lanjut, ketiga-tiga pemimpin DAP itu berkata PAS sepatutnya mempertahankan hak dan kepentingan semua kumpulan etnik seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan bukannya memecah-belahkan masyarakat melalui agenda politik sempit.

“PAS diseru untuk menghayati semangat Malaysia dalam politik kebangsaan dan meninggalkan politik ekstrem yang gagal meraikan perpaduan dalam kepelbagaian di negara kita.

“Sesungguhnya, kepelbagaian inilah yang menjadi asas kekuatan kita,” tegas mereka.

Selain Hanif, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar, turut mendakwa tindakan Nga jelas menunjukkan kealpaan dalam memahami prinsip-prinsip asas keharmonian agama yang seharusnya dihormati.

"Ia juga memberi isyarat salah kepada masyarakat umum, terutamanya umat Islam, mengenai batasan penyertaan dalam perayaan agama lain. Lebih membimbangkan, ia membuka ruang kepada polemik yang boleh menggugat keharmonian antara agama di Malaysia,” dakwa Khairul Nadzir.

Sementara itu, seorang lagi ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Lee Chin Chen, menuntut permohonan maaf daripada PAS kepada Nga dan kakitangan di kementeriannya.

Adun Bilut itu berkata, dia dimaklumkan bahawa semua penjawat awam yang terlibat dalam nyanyian Krismas di kementerian itu adalah bukan Islam, dan para peserta serta penonton hadir secara sukarela.

“Hanif mendakwa kehadiran umat Islam dan mendengar nyanyian koir Krismas, seperti yang dilihat dalam video Nga Kor Ming, melanggar prinsip Islam.

“Jika mengikut logiknya, adakah umat Islam perlu mengelak semua pusat beli-belah sepanjang bulan Disember, memandangkan lagu-lagu Krismas dimainkan di tempat-tempat ini? Dan adakah umat Islam juga dilarang bekerja di pusat beli-belah pada waktu ini?” soal Lee.

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Ketua Pemuda DAP, Raja Ahmad Iskandar Fareez, turut merujuk ucapan Krismas Takiyuddin yang menyatakan penganut Kristian sebagai komuniti agama ketiga terbesar di Malaysia, termasuk Bumiputera dari Sabah dan Sarawak.

Raja Ahmad Iskandar menegaskan bahawa penganut Kristian juga bekerja sebagai penjawat awam termasuk di bawah kementerian Nga.

“Adakah Naib Ketua Pemuda PAS beranggapan bahawa penganut agama Kristian termasuklah YB Menteri KPKT, Nga Kor Ming dan penjawat awam di KPKT tidak berhak meraikan hari perayaan mereka dengan cara yang muhibah dan majmuk?

“Sebagai pemimpin muda, Muhammad Hanif perlulah menjadi contoh tauladan yang baik kepada anak muda Malaysia dalam meraikan kepelbagaian agama dan budaya di negara Malaysia.

“Bukannya menjadi ejen perpecahan yang menggunakan agama sebagai mainan politik murahan,” tegas Raja Ahmad Iskandar.

Selain itu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan Pemuda DAP, Ho Chi Yang, mempersoalkan pendirian antara Pemuda PAS dan kepimpinan parti itu.

“Ketika Takiyuddin mengucapkan salam Krismas, Pemuda PAS mengkritik jabatan kerajaan kerana meraikan perayaan tersebut.

“Adakah sikap tak konsisten ini berpunca daripada kejahilan atau obsesi mengeksploitasi isu agama untuk meningkatkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat?” soal Ho.

Dalam ucapannya, Nga mengucapkan tahniah kepada kakitangan KPKT kerana menghasilkan hiasan lobi terbaik di antara semua kementerian, dan memuji sambutan pelbagai perayaan.

Menurutnya lobi tersebut diserikan dengan hiasan sempena Aidilfitri, Deepavali, dan Krismas sepanjang tahun, dan tidak lama lagi akan dihiasi dengan hiasan Tahun Baru Cina.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS