Pemberi maklumat dalam skandal rasuah di Sabah mendedahkan tangkap layar mesej WhatsApp, bersama butiran masa, lokasi, dan transaksi bank yang didakwa berkaitan dengan bayaran RM360,000 kepada Adun Tempasuk, Mohd Arsad Bistari.
Jumlah ini dikatakan sebahagian daripada rasuah RM1 juta yang didakwa dijanjikan kepada Arsad.
Sebelum ini, Malaysiakini menyiarkan video memaparkan Arsad, yang juga merupakan pengerusi Sabah Softwoods Bhd, sedang berbincang dengan pemberi maklumat berkenaan mengenai jumlah tersebut.
Arsad menafikan tuduhan itu dan mendakwa video tersebut telah disunting.
Pemberi maklumat itu mendakwa beberapa Adun telah disogok untuk mendapatkan kelulusan lesen cari gali mineral yang diluluskan oleh Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.
Ahli perniagaan tersebut juga mendakwa dana tersebut adalah pendahuluan daripada pelabur, yang diberikan khusus untuk memudahkan bayaran rasuah bagi mendapatkan kelulusan lesen cari gali berkenaan.
Sekiranya lesen tersebut tidak diperoleh, pemberi maklumat bertanggungjawab memulangkan wang itu kepada pelabur.
Bukan sumbangan politik
Pada Selasa lalu, peguam pemberi maklumat, Muhammad Shafee Abdullah, mengumumkan bahawa anak guamnya telah memutuskan untuk mendedahkan mesej WhatsApp dan “bukti” lain untuk menyangkal dakwaan bahawa dana tersebut adalah sumbangan politik.
Peguam kanan itu menambah bahawa anak guamnya bercadang untuk membuat laporan kepada SPRM dan menyerahkan bukti tambahan yang dimilikinya.
Berikut adalah butiran transaksi yang didakwa melibatkan Arsad, termasuk RM210,000 yang dikatakan diserahkan secara tunai dan tangkap layar perbualan WhatsApp mereka.
Malaysiakini telah memadam lima digit terakhir nombor telefon mudah alih Arsad, namun mengesahkan bahawa nombor tersebut adalah miliknya.
Bayaran tunai dan pemindahan bank
Menurut pemberi maklumat, RM50,000 pertama diberikan secara tunai pada 8 Mac 2023, kira-kira jam 2 petang di Restoran Warung Sederhana (terletak di bawah pejabat Arsad, WH Cekal Bersepadu), Grace Square 2 di Sembulan, Kota Kinabalu, Sabah.
Pada 9 Mac 2023, pembayaran RM150,000 didakwa dilakukan melalui pemindahan bank ke akaun Public Bank pada kira-kira jam 12.30 tengah hari.
RM100,000 lagi secara tunai dikatakan telah diserahkan pada 13 Mei 2023, kira-kira jam 11 pagi di Hotel Hilton, Kota Kinabalu, Sabah.
Seorang lagi MP hadir
Pada 27 Jun 2023, RM60,000 secara tunai didakwa diserahkan pada kira-kira jam 11.30 pagi di pejabat pengerusi Sabah Softwoods, Wisma Innoprise, Kota Kinabalu, Sabah.
Pemberi maklumat mendakwa bahawa Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri, Andi Muhammad Suryady Bandy, turut hadir.
Andi, yang juga Ahli Parlimen Kalabakan dan Adun Tanjung Batu, turut didakwa menerima rasuah.
Pemberi maklumat mendakwa Arsad meminta 10 peratus saham "secara percuma" dalam syarikat yang memohon lesen cari gali mineral sebagai ganjaran atas bantuannya.
Dia dikatakan melantik seorang proksi bernama "Yakob" sebagai pemegang saham 10 peratus dalam syarikat tersebut yang didaftarkan secara rasmi dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Malaysiakini telah menghubungi Arsad untuk mendapatkan respons.