Paling Popular
Terkini

Pemberi maklumat dalam skandal rasuah di Sabah mendedahkan tangkap layar mesej WhatsApp berserta butiran masa dan lokasi transaksi yang didakwa melibatkan bayaran RM450,000 kepada Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy.

Andi juga merupakan Ahli Parlimen Kalabakan dan ADUN Tanjung Batu.

Menurut pemberi maklumat, RM450,000 tersebut adalah sebahagian daripada rasuah yang didakwa berjumlah RM1 juta yang dijanjikan kepada wakil rakyat tersebut.

Sebelum ini, Malaysiakini menyiarkan video memaparkan Andi berbincang dengan pemberi maklumat berkenaan mengenai jumlah wang tersebut.

Pemberi maklumat mendakwa beberapa wakil rakyat didakwa menerima rasuah untuk mendapatkan lesen cari gali mineral yang diluluskan oleh Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.

Di bawah tekanan

Dia juga mendakwa wang tersebut merupakan pendahuluan daripada pelabur, yang diberikan khusus untuk mempermudah rasuah bagi mendapatkan kelulusan lesen cari gali mineral. Pemberi maklumat bertanggungjawab memulangkan wang tersebut kepada pelabur jika lesen tidak diperoleh.

Pemberi maklumat berkenaan mendakwa dua tangkap layar mesej WhatsApp yang didakwa berkaitan dengan Andi membuktikan bahawa pelabur telah memberikan tekanan kepadanya.

Pada Selasa lalu, peguam pemberi maklumat, Muhammad Shafee Abdullah, mengumumkan bahawa anak guamnya akan mendedahkan mesej WhatsApp dan bukti sokongan lain untuk menolak dakwaan bahawa wang tersebut adalah sumbangan politik.

Peguam kanan itu menambah anak guamnya merancang untuk membuat laporan kepada SPRM serta menyerahkan bukti tambahan yang dimilikinya.

Berikut adalah butiran transaksi yang didakwa melibatkan Andi serta tangkap layar WhatsApp tersebut.

Malaysiakini telah memadam lima digit terakhir nombor telefon mudah alih ADUN tersebut, namun mengesahkan bahawa nombor tersebut adalah miliknya.

Transaksi wang tunai

Menurut pemberi maklumat, pada 11 Januari 2023, RM200,000 secara tunai dibayar sekitar jam 8 malam di Restoran Makanan Laut Hokkaido, Jalan Lumut, Titiwangsa Sentral, Kuala Lumpur.

Pada 12 April 2023, RM50,000 secara tunai didakwa diberikan sekitar jam 12 tengah hari di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur.

Tepat sebulan kemudian, RM150,000 secara tunai didakwa diterima pada 12 Mei 2023 sekitar jam 11 malam di hadapan rumah Andi di Jalan Pantai Sembulan, Kota Kinabalu, Sabah.

Kehadiran Adun Tempasuk

Pada 27 Jun 2023, RM50,000 secara tunai didakwa diserahkan sekitar jam 11.30 pagi di pejabat Pengerusi Sabah Softwoods Bhd, Wisma Innoprise, Kota Kinabalu.

Pemberi maklumat mendakwa Pengerusi Sabah Softwoods, Mohd Arsad Bistari, turut hadir semasa penyerahan wang tersebut. Arsad, yang juga terlibat dalam skandal ini, merupakan Adun Tempasuk.

Andi didakwa meminta 10 peratus saham "percuma" dalam syarikat yang memohon lesen cari gali mineral sebagai ganjaran atas bantuannya.

Malaysiakini telah menghubungi Andi untuk mendapatkan maklum balas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS