Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hukuman sebat terbuka: Suhakam pertikai bidang kuasa negeri, kata PAS
Diterbitkan:  Dec 27, 2024 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Dewan Ulama PAS membidas kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung hukuman sebat di tempat awam, dengan menyifatkan badan itu tidak wajar mempertikai bidang kuasa negeri.

Ketuanya Ahmad Yahaya berkata hukuman tersebut yang dibuat oleh Mahkamah Syariah Terengganu berpandukan lunas perundangan yang jelas dan tidak bertentangan dengan kuasa negeri seperti yang dinyatakan dalam Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. 

“Malah, keputusan pihak Hakim Mahkamah Syariah Negeri itu seharusnya dihormati oleh semua pihak.

“Hukuman sebatan di khalayak ramai ini wajar dan bukannya berniat untuk menjatuhkan maruah pesalah. Ia perlu dilihat dalam konteks hukuman yang membentuk keinsafan kepada pesalah dan masyarakat agar tidak melakukannya masa akan datang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, Suhakam menyifatkan hukuman tersebut sebagai melampaui bidang kuasa undang-undang persekutuan, khususnya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang hanya membenarkan hukuman sebat dan bukannya sebat di tempat awam.

Suhakam berkata,, Perkara 125(3)(c) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Terengganu 2001, yang membenarkan Mahkamah Syariah menentukan tempat pelaksanaan hukuman sebat di hadapan khalayak, tidak diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah.

Suhakam juga berkata hukuman sebat di tempat awam adalah penghinaan terhadap maruah manusia dan melanggar prinsip undang-undang antarabangsa serta Perlembagaan Persekutuan.  

Selain Suhakam, turut menyatakan bantahan adalah Badan Peguam Malaysia yang menggesa kerajaan persekutuan dan kerajaan Terengganu menyemak semula dan meminda undang-undang yang membenarkan hukuman itu dilaksanakan.

Presidennya Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata ia bagi “bagi memastikan ia bersifat seimbang, bersifat pemulihan, dan menghormati maruah manusia”.

Mohamad Ezri Abdul Wahab

Dia juga berkata hukuman secara terbuka itu menjejaskan maruah individu yang dihukum, dan maka boleh dianggap melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Pertama kali dilaksanakan, hukuman sebat tersebut dijatuhkan kepada seorang pesalah khalwat berulang dan dijadual dibuat di Masjid Al Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad mengingatkan bahawa dalam undang-undang, prinsip hukuman setimpal dan bersifat mencegah dalam kalangan masyarakat adalah mustahak.

“Usah membakulkan segala-segalanya atas nama hak asasi manusia semata-mata sehingga mengenepikan peranan undang-undang dalam mengurus kehidupan manusia. 

“Suhakam seharusnya mengangkat prinsip perundangan serta menilai hak asasi daripada perspektif agama, bukan berpandukan kepada agenda hak asasi manusia ciptaan Barat yang telah rosak,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS