Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Enam lagi individu ditahan kes penyokong bola gaduh di stesen LRT

Polis menahan enam lagi individu dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan melibatkan dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, Jumaat lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata suspek berumur lingkungan 20 hingga 24 tahun itu ditahan pada petang Selasa di sekitar ibu negara dan direman selama sehari bermula semalam.

Dia berkata keenam-enam suspek itu dibebaskan hari ini setelah diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya namun laporan masih perlu dilengkapkan sebelum keputusan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata dua lagi suspek berumur 22 dan 24 tahun yang direman pada Selasa lepas turut dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Pada 21 Dis, polis mengesan satu video tular memaparkan kejadian pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, laluan Ampang-Sri Petaling.

Insiden pergaduhan itu melibatkan antara 20 hingga 30 orang yang bertindak agresif dengan bertumbuk, membaling tong sampah serta menendang pintu tren hingga mengakibatkan kerosakan yang menyebabkan pihak Prasarana Malaysia Berhad membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS