Sebuah karnival di Bukit Gambir, Johor telah dihentikan berikutan pemaparan bendera negara China di sebuah replika kapal angkasa di situ.
Adun Gambir daripada Umno Sahrihan Jani, berkata Pemuda Umno Ledang membuat laporan polis mengenai perkara itu, dan dia telah berhubung dengan Majlis Daerah Tangkak sejak isu tersebut menjadi tular.
Sahrihan berkata dia dimaklumkan secara tidak rasmi bahawa karnival tersebut - yang dijadual berlangsung dari 23 Disember hingga 12 Januari depan - telah dihentikan berkuat kuasa hari ini.
“Ini menunjukkan Umno sama sekali tidak akan bersekongkol dengan tindakan mana-mana pihak yang menggugat maruah dan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia turut menasihatkan penganjur mana-mana acara agar lebih peka terhadap budaya masyarakat, tidak mencetuskan provokasi dan berhati-hati dengan isu berkaitan perpaduan serta keselamatan negara.
“Masyarakat di Gambir jelas menolak sebarang usaha tersirat yang bertujuan mempromosikan sesuatu yang bertentangan dengan semangat perpaduan dan sayangkan negara yang tercinta ini,” katanya lagi.
Sahrihan juga menggesa agar penganjur karnival didakwa di mahkamah, dengan berkata sebarang permohonan maaf tidak memadai untuk menutup kesilapan itu.
Menurut promosi di laman media sosial karnival itu, acara tersebut antaranya menampilkan tarikan seperti paparan lampu LED, salji buatan, gerai makanan dan cabutan bertuah.
Tarikan yang menjadi isu adalah replika kapal angkasa besar yang menyerupai kapal angkasa Amerika Syarikat dan model Buran yang dibangunkan Rusia, tetapi memaparkan bendera China pada sayapnya.
Sementara itu, Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Daerah Tangkak Roslan Mohd Talib mengesahkan laporan polis berkenaan perkara itu telah diterima dan siasatan sedang dijalankan.