Perniagaan makanan dan minuman di Kelantan dilaporkan akan diwajibkan memiliki sijil halal sebagai syarat utama untuk memperbaharui lesen perniagaan mereka.
Menurut Sinar Harian hari ini, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan, dan Hubungan Seranta Kelantan Mohd Asri Mat Daud berkata syarat itu sudah dikuatkuasakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu dan akan diperluas kepada pihak berkuasa tempatan lain di negeri itu.
"Pada masa sama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) turut membuka peluang untuk mendapatkan sijil halal kepada industri kecil, perhotelan serta individu yang mengusahakan produk makanan serta minuman di rumah," katanya seperti dipetik.
‘Orang bukan Islam tiada isu’
Menurut laporan itu lagi, Asri berkata sebanyak 453 premis telah mendapat sijil halal dari Januari hingga Disember tahun ini, di mana 198 daripadanya di Kota Bharu, manakala 255 lagi di kawasan lain.
Dia berkata hampir 80 peratus daripada perniagaan ini dimiliki oleh orang Islam, manakala selebihnya dimiliki oleh orang bukan Islam.
"Di Kelantan tiada isu orang bukan Islam rasa 'rigid' dengan sijil halal, mereka boleh terima.
"Sementara itu setiap tahun Jaheaik akan membuat pemantauan mengejut untuk tujuan pemeriksaan kepada semua premis yang memiliki SPHM (Sijil Pengesahan Halal Malaysia)," katanya lagi seperti dipetik.
Pada September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.
Ia mencetuskan bantahan sejumlah pihak berikutan kos dan syarat ketat untuk mendapatkan sijil itu, selain kontroversi di mana Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok didakwa tidak menghormati Islam ketika menimbulkan isu berkaitannya.
Kabinet akhirnya memutuskan untuk mengekalkan dasar sedia ada, di mana pensijilan halal dibuat secara sukarela, selain menyatakan komitmen untuk memperbaiki proses permohonan pensijilan tersebut.