Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia, atau singkatannya Haram, mengecam apa yang didakwa sebagai pembebasan "jerung" besar daripada kes rasuah pada masa ini, di bawah pentadbiran pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung Haram Adam Nor merujuk keputusan mahkamah dalam kes Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi serta Rosmah Mansor, yang disifatkannya sebagai bertentangan dengan laungan reformasi sebelum ini.
Selain itu, dia turut membangkitkan pelantikan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri minggu lalu.
"Slogan reformasi yang sering dilaungkan hanya menjadi alat propaganda politik tanpa sebarang tindakan konkrit. Janji reformasi bertukar menjadi jenaka apabila rakyat terabai sementara perompak bertali leher dibiarkan bebas.
"Apa yang berlaku hari ini adalah sangat kontradik, seperti pembebasan Zahid, kontroversi pengampunan Najib Razak dan pelantikan Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah,” katanya ketika sidang media di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
Zahid dibebaskan tanpa dilepaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi pada September lalu, susulan permohonan yang dibuat oleh timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar.
Berhubung Rosmah pula, dia dibebaskan daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM7 juta, dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 19 Disember lalu, selepas dia memfailkan permohonan agar pertuduhan terhadapnya dibatalkan.
Namun sehari kemudian, pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Musa pula dibebaskan daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram pada Jun 2020 - ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin.
"Kita juga mempersoalkan kewarasan Ketua Menteri Sabah Hajiji Nor dan perdana menteri ketika menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan Musa,” kata Adam lagi.
Terdahulu, Anwar berkata dia telah menasihati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai beberapa nama lain untuk dipertimbangkan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baru.
Anwar juga berulang kali mengatakan dia tidak campur tangan dalam kes mahkamah, termasuk berhubung pembebasan Rosmah.
Mengulas lanjut, Adam berkata Haram telah menubuhkan Sekretariat Sucikan Malaysia bagi menggerakan tindakan lebih tegas untuk memastikan kerajaan menjayakan agenda reformasi seperti dijanjikan.
Sementara itu, koordinator Haram bagi gerakan mahasiswa Sabah, Hamdin Nordin menyokong penuh tindakan mahasiswa untuk berhimpun bagi menggempur rasuah di Sabah.
Pertubuhan mahasiswa dan NGO di Sabah dakan mengadakan perhimpunan pada 31 Disember ini bagi membangkitkan skandal rasuah Sabah yang masih menjadi perhatian pada masa ini.
"Kita memberikan sokongan penuh kepada gerakan mahasiswa Sabah untuk berhimpun bagi gempur rasuah di Sabah.
'Janji Anwar untuk laksanakan reformasi, janji gempur rasuah tapi banyak dibebaskan era kerajaan Madani," dakwanya.