Pemberi maklumat dalam skandal rasuah Sabah mendedahkan tangkap layar perbualan WhatsApp, bersama dengan butiran masa dan lokasi transaksi yang didakwa berkaitan dengan pembayaran RM400,000 kepada Adun Kuamut, Masiung Banah.
Masiung juga merupakan pengerusi lembaga pembangunan perumahan dan bandar negeri.
Dalam perbualan WhatsApp yang didakwa, pemberi maklumat mendesak supaya jumlah wang itu dikembalikan selepas pembatalan lesen cari gali mineral. Ahli perniagaan itu menyatakan bahawa dia berada di bawah tekanan daripada pelabur.
Pemberi maklumat bertanya sama ada RM100,000 boleh dikembalikan terlebih dulu atau tidak, dan respons yang diterima adalah keluhan bahawa sukar untuk mencari wang pada awal tahun, selain mengatakan tiada "kemasukan" kerana belum ada projek.
Pemberi maklumat itu mendakwa bahawa RM400,000 itu adalah sebahagian daripada RM1 juta yang dijanjikan sebagai balasan untuk lesen cari gali mineral.
Dia mendakwa Masiung juga meminta 10 peratus saham "percuma" dalam syarikat yang memohon lesen carigali mineral sebagai balasan atas bantuannya.
Adun itu dikatakan melantik proksi bernama "Willy", 39, sebagai pemegang saham rasmi 10 peratus kepentingan dalam syarikat itu, yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat.
Sebelum ini, Malaysiakini menyiarkan video Masiung membincangkan RM400,000 dengan pemberi maklumat. Adun
itu mendakwa video berkenaan telah disunting.
Pemberi maklumat mendakwa beberapa Adun didakwa disogok untuk mendapatkan lesen cari gali mineral.
Dia seterusnya mendakwa bahawa dana itu adalah pendahuluan daripada pelabur, yang disediakan khusus untuk membayar rasuah yang diperlukan untuk mendapatkan lesen.
Bukan derma politik
Pada hari Selasa, peguam pemberi maklumat, Muhammad Shafee Abdullah, mengumumkan bahawa anak guamnya telah memutuskan untuk mendedahkan mesej WhatsApp dan "bukti" sokongan lain untuk menyangkal dakwaan bahawa dana itu adalah derma politik.
Peguam itu menambah bahawa anak guamnya bercadang untuk memfailkan laporan dengan SPRM dan mengemukakan bukti lanjut dalam simpanannya.
Di bawah ialah butiran urus niaga yang didakwa melibatkan Masiung, dan tangka layar perbualan WhatsApp berkenaan.
Malaysiakini tidak mendedahkan lima digit terakhir nombor telefon Adun berkenaan, tetapi mengesahkan bahawa nombor itu adalah miliknya.
Pembantu dakwa tangkap layar 'diedit'
Ketika dihubungi, pembantu Masiung, Willy Frous Darinsok, merujuk kepada perbualan WhatsApp itu dan mendakwa tangkap layar itu "diedit" untuk hanya menunjukkan cerita "sebelah pihak".
“Apa yang dipanggil ‘bukti’ adalah tidak tepat… dia (pemberi maklumat) tidak berkongsi perbualan selebihnya… hanya yang ‘negatif’ kepada Datuk Masiung.
"Yang dia 'paksa' Datuk, dia tidak tunjukkan," kata Willy.
Dia mendakwa Masiung tidak pernah meminta bayaran dan sebaliknya didekati pemberi maklumat dengan tawaran untuk "derma politik".
Willy juga mengulangi bahawa Masiung telah membuat laporan SPRM terhadap pemberi maklumat.
"Dia memberikan semua maklumat kepada SPRM," kata Willy.
Mengenai dakwaan pemberi maklumat bahawa Masiung telah meminta saham 10 peratus dalam syarikat itu, Willy mengesahkan bahawa dia adalah "proksi" yang didakwa dirujuk dalam perbualan WhatsApp pada 13 Sept.
“Ya benar, tetapi Datuk tidak minta. Dia (pemberi maklumat) menawarkan, ‘memaksa’ saya menghantar dokumen saya,” dakwa Willy.
"Saya sudah meminta untuk keluar dari syarikat itu awal tahun ini," tambahnya.
Bayaran tunai RM400,000
Menurut pemberi maklumat, bayaran RM400,000 kepada Masiung itu dihantar dalam dua bahagian.
Dia mendakwa wang tunai RM200,000 pertama diterima pada 27 April 2023, sekitar jam 12 tengah hari di E-West Club, Taman Mesra Fasa 4, Kota Kinabalu, Sabah. Seorang wakil bernama "Lau" menyerahkan wang itu kepada Masiung.
Ahli perniagaan itu mendakwa baki RM200,000 telah dibayar secara tunai pada 12 Julai 2023, sekitar jam 1 tengah hari di Restoran Delicious Curry House, Taman Ridgeview, Kepayan, Kota Kinabalu, Sabah.
Malaysiakini telah menghubungi Masiung untuk mendapatkan maklum balas.