Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tinjauan: Persepsi rakyat Malaysia terhadap China bertambah baik

Persepsi rakyat Malaysia terhadap China telah bertambah baik dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menurut tinjauan pendapat awam oleh Merdeka Center, yang menekankan sokongan yang semakin meningkat terhadap hubungan dua hala, pelaburan China dan bidang kerjasama antara kedua-dua negara.

Tinjauan itu, yang dijalankan dari 17 Mei hingga 10 Jun melibatkan 1,225 responden dari seluruh Malaysia, mendedahkan bahawa 84 peratus rakyat Malaysia kini melihat hubungan dengan China secara positif, meningkat berbanding 70 peratus pada 2022.

Begitu juga, 77 peratus responden berkata hubungan itu menuju ke arah yang betul, berbanding 64 peratus dua tahun sebelumnya.

Sentimen orang ramai terhadap pelaburan China juga menunjukkan peningkatan yang ketara, dengan 82 peratus responden menyatakan pandangan yang baik, berbanding 70 peratus pada 2022.

Hanya sembilan peratus yang mempunyai pendapat negatif, mencerminkan pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap manfaat ekonomi penglibatan China di Malaysia.

Bidang utama untuk kerjasama pada masa depan juga dikenal pasti dalam tinjauan itu, dengan responden menyerlahkan ekonomi digital (48 peratus), pembangunan infrastruktur (20 peratus) dan pelancongan (12 peratus) sebagai keutamaan.

Sektor baru muncul seperti kenderaan elektrik (sembilan peratus) dan ekonomi hijau (lima peratus) turut mendapat perhatian.

Pelancongan kekal sebagai asas utama hubungan Malaysia-China, dengan 82 peratus responden mengenal pasti ia sebagai pemacu utama penglibatan dengan China. Peluang pendidikan dan pekerjaan juga disebut sebagai penyumbang penting.

Sepanjang dua tahun lalu, 62 peratus responden berkata tanggapan keseluruhan mereka terhadap China telah bertambah baik, peningkatan mendadak daripada 34 peratus pada 2022. Ini mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat dalam hubungan dua hala, didorong oleh matlamat ekonomi bersama dan ikatan budaya.

Hasil tinjauan itu menggariskan pengukuhan hubungan antara Malaysia dan China, memberikan pandangan berharga kepada penggubal dasar dan pihak berkepentingan, ketika kedua-dua negara berusaha untuk memperdalam kerjasama dalam pelbagai bidang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS