Polis pagi ini selesai merakam kenyataan seorang saksi berhubung siri insiden kematian beberapa ekor kucing di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Shima Aris, yang merupakan aktivis haiwan, memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields selama lebih kurang sejam.
"Anak guam saya memberi kerjasama dengan penuh dan menjawab semua soalan yang ditujukan kepadanya," kata peguamnya, Rajesh Nagarajan (gambar) ketika dihubungi Malaysiakini.
Rajesh berkata antara lain anak guamnya mengulangi dakwaan bahawa ia merupakan satu kes pembunuhan haiwan kerana menurutnya kaki kucing-kucing berkenaan dipotong dengan benda yang tajam.
Dia juga menyatakan bahawa mereka gembira kerana pihak polis telah membuka semula siasatan.
“Saksi, anak guam saya berharap agar kes ini disiasat dengan telus,” katanya.
Polis sebelum ini berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pihaknya mendapati kematian beberapa ekor kucing di kampus itu berpunca daripada serangan sekumpulan anjing liar.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan kucing-kucing tersebut mati akibat kecederaan semasa serangan itu.
Bagaimanapun, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menolak dakwaan itu dengan menyatakan kecederaan pada kucing-kucing tersebut lebih konsisten dengan penggunaan objek tajam, yang menunjukkan kemungkinan penglibatan manusia.
Selain kucing jalanan, bangkai seekor anjing turut dilaporkan ditemui berhampiran kawasan kediaman kolej semalam, menurut laporan FMT.
Dalam perkembangan terbaru hari ini, satu lagi laporan dibuat mengenai insiden kucing jalanan didakwa dibunuh di universiti itu.
Ia merupakan kejadian kelima yang berlaku di universiti itu sejak kejadian pertama ada 25 Nov.
Terdahulu, kumpulan pelajar NewGen UM, mempertikaikan tahap keselamatan di universiti itu susulan isu berkenaan.
"Jika kes-kes ini sememangnya tindakan zalim yang disengajakan, pelakunya jelas tidak mempunyai sifat asas kemanusiaan, sekali gus berpotensi menjadi ancaman bukan sahaja kepada kucing jalanan tetapi juga kepada keselamatan pelajar UM," kata kumpulan itu.