Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad: Fitnah 'ditanggung halal' dalam tafsiran PAS
Diterbitkan:  Dec 26, 2024 1:18 PM
Dikemaskini: 5:18 AM

Keputusan PAS melancarkan tabung "derma jihad" bagi membantu Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad membayar saman fitnah disifatkan sebagai memberi gambaran bahawa parti itu “menghalalkan” fitnah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi, berkata ia juga satu strategi PAS untuk mensensasikan isu berkenaan bagi meraih simpati rakyat.

"Mursyidul Am PAS Hashim Jasin kata tidak salah ahli PAS bantu Siti Mastura membayar saman fitnah kepada pemimpin DAP. Hashim Jasin tidak mengemukakan dalil syariie.

"Ia dibidas oleh Dr Khairuddin At Takiri bekas setiausaha Dewan Ulama PAS. Mana boleh bantu bayar saman sivil kerana dosa fitnah katanya. Dia merujuk Surah al Maidah ayat 2. Ia menyebut jangan bekerjasama atas dasar dosa dan permusuhan.

"Mungkin fitnah dalam tafsiran PAS tidak sama dengan fitnah tafsiran mahkamah. Fitnah tafsiran PAS 'ditanggung halal’," tulisnya dalam hantaran di Facebook.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan PAS didakwa menganjurkan kutipan derma bagi membantu ahli parlimen Kepala Batas itu membayar ganti rugi RM825,000 kepada pemimpin DAP.

Ini selepas Siti Mastura kalah dalam kes saman fitnah kerana mendakwa Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng mempunyai kaitan keluarga dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng, selain menuduh Teresa Kok ada kaitan keluarga dengan Lim.

Dalam surat yang tular di media sosial, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata Siti Masturah membuat kenyataan itu ketika berkempen untuk parti pada pilihan raya kecil Kemaman.

Takiyuddin juga mengingatkan bahawa kegagalan membayar saman itu akan menyebabkan prosiding kebankrapan dimulakan terhadap Siti Mastura, yang seterusnya boleh menyebabkan dia kehilangan kerusinya sekali gus mencetuskan pilihan raya kecil.

Justeru, bagi mengelak Siti Mastura hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen, parti itu menganjurkan kutipan derma.

Surat itu menyatakan bahawa ketua jawatankuasa PAS pusat dan ketua negeri, bahagian dan cawangan dikehendaki menderma sekurang-kurangnya RM500 setiap seorang.

Bahagian negeri serta sayap di peringkat persekutuan, negeri dan bahagian dikehendaki mengumpul sekurang-kurangnya RM20,000 setiap satu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS