Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di sembilan jajahan di Kelantan dalam tempoh tiga hari bermula Ahad depan (29 Dis).
JPS menerusi kenyataan memaklumkan jajahan yang terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli.
“Di jajahan Tumpat, banjir dijangka melibatkan lembangan Sungai (Sg) Golok, Sungai Kelantan, dan Sungai Pengkalan Nangka. Sementara di Pasir Mas, ia membabitkan lembangan Sg Golok dan lembangan Sg Kelantan.
"Di Kota Bharu pula ia membabitkan tiga lembangan sungai iaitu lembangan Sg Kelantan, lembangan Sg Pengkalan Datu dan lembangan Sg Semerak. Selain itu, di Pasir Puteh ia melibatkan lembangan Sg Kelantan dan lembangan Sg Semerak,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, bagi jajahan Bachok, banjir dijangka melibatkan lembangan Sg Kemasin dan lembangan Sg Semerak, manakala di Tanah Merah, ia melibatkan lembangan Sg Golok dan lembangan Sg Kelantan.
Di Kuala Krai, banjir dijangka melibatkan lembangan Sg Kelantan, manakala di Jeli, ia melibatkan lembangan Sg Golok dan lembangan Sg Kelantan.
“JPS akan terus melakukan pemantauan secara berterusan dan mengemas kini hebahan amaran banjir jika hujan signifikan berterusan di lembangan-lembangan sungai tersebut,” menurut kenyataan itu.
Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh jangkaan. Oleh itu, semua agensi pengurusan bencana serta penduduk di kawasan berisiko diminta berwaspada dan sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa.
- Bernama