Selepas seorang kawan rapatnya membunuh diri pada 2021, Mohamad Nazwan Mohamad Taufik memutuskan untuk mengenang pemergiannya dengan menubuhkan yayasan yang mengendalikan sebuah pusat bagi membantu mereka yang mengalami kedukaan.
Mengenang tragedi itu, Nazwan, 33 tahun, berkata kejadian itu berlaku semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) Covid-19 apabila rakannya, yang hanya dinamakan sebagai Dee, melahirkan anak pertamanya.
"Dia adalah antara orang paling kuat yang saya kenal, wanita yang bekerja sebagai ketua dalam persekitaran yang didominasi lelaki. Selepas melahirkan anak, dia menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya sebagai seorang ibu.
"Secara ringkas, ia disebabkan oleh kemurungan selepas bersalin (postpartum depression). Kali terakhir kami dengar daripadanya adalah pada 1 Ogos 2021. Hari-hari selepas pemergiannya sangat mengesankan buat kami.
"Kami tidak dapat tinggal di rumah dan terpaksa tinggal di tempat lain buat sementara waktu," katanya kepada Malaysiakini.
Nazwan berkata bahawa dia akan menziarahi keluarga Dee, dan semasa kunjungan tersebut, seorang pakar psikiatri ada membantu mereka untuk menangani kesedihan mereka.
Dari situlah lahirnya idea untuk menubuhkan Yayasan Dee Hati, yang mengendalikan Dee Hati Centre For Grief, Bereavement And Trauma di Taman Budaya, Kuching, Sarawak.
"Kami rasa cara terbaik untuk mengenang pemergiannya adalah dengan menubuhkan Yayasan Dee Hati agar kami dapat bantu orang lain yang mungkin sedang melalui kedukaan dalam hidup," katanya yang bekerja dalam sektor pembinaan.
Yayasan Dee Hati secara rasmi didaftarkan pada 1 Ogos 2022, tepat setahun selepas pemergian Dee.
Pusat tersebut dibuka kepada umum pada Februari 2023.
Selain Nazwan, individu lain yang memainkan peranan dalam penubuhan pusat tersebut ialah isterinya, Nur Iwana Abdul Taib (ahli psikiatri), Faizul Zuraimi dan Sabrina Zuraimi.
Berasaskan komuniti
Mengenai Dee Hati, Nazwan yang menjadi pengurus besar di sana berkata, ia sebuah organisasi berasaskan komuniti yang dikendalikan oleh komuniti dan kalangan bukan profesional dalam kesihatan mental.
Baginya, tanggungjawab untuk menjaga mereka yang berdepan isu kesihatan mental adalah di bahu semua orang.
"Pusat ini menyediakan sokongan untuk kedukaan secara percuma kepada mana-mana individu yang telah mengalami kehilangan.
"Kami juga membantu menyediakan ruang yang selamat kepada mereka yang berkabung supaya mereka dapat melaluinya secara selamat dan sihat tanpa dihakimi, tanpa mengira latar belakang mereka," katanya.
Kata Nazwan lagi, pasukannya mempunyai prosedur operasi standard sendiri untuk membantu mereka yang memerlukan dan apabila terdapat kes yang melangkaui skop mereka, Nur Iwana yang memang pakar dalam bidang tersebut akan mengendalikannya.
Fokus pada kesihatan mental remaja
Menyentuh isu kes bunuh diri dalam kalangan remaja, Nazwan menekankan kepentingan mewujudkan ruang selamat agar golongan itu merasa selesa untuk membincangkan masalah mereka tanpa risau akan dihakimi.
"Perbualan secara terbuka mengenai kesihatan mental - baik di rumah mahupun di sekolah - sangat penting.
"Soalan mudah seperti ‘bagaimana perasaan anda sebenarnya?' boleh membawa perubahan besar.
"Sekolah juga harus menormalkan perbincangan ini, menyediakan pendidikan kesihatan mental dan memastikan kaunselor terlatih ada supaya remaja tahu ke mana mereka harus mendapatkan bantuan," katanya lagi.
Mengenal pasti tanda awal
Nazwan juga menekankan pentingnya mengenal pasti tanda-tanda awal. Ini termasuk perubahan seperti pengasingan diri secara tiba-tiba, perubahan tingkah laku, atau luahan rasa putus asa.
"Mendidik remaja untuk mengenali tanda-tanda ini dalam kalangan rakan sebaya mereka juga penting," katanya.
Dia turut membangkitkan betapa pentingnya untuk membimbing remaja tentang penggunaan media sosial secara bertanggungjawab, yang dapat membantu mengurangkan tekanan dan rasa tidak cukup dalam diri dan kehidupan.
"Menetapkan sempadan diri dan mempromosikan kesejahteraan digital dapat mengurangkan beberapa tekanan ini."
Katanya lagi, usaha mengurangkan stigma berkaitan kesihatan mental adalah satu lagi langkah penting untuk menangani isu kesihatan mental dalam kalangan remaja.
Malangnya, katanya lagi, ramai kalangan remaja mengelak daripada mendapatkan bantuan kerana takut dengan tanggapan orang lain.
Justeru, dia mencadangkan idea kempen komuniti dan program yang dipimpin kalangan dalam masyarakat untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu kesihatan mental.
“Sekolah boleh mewujudkan persekitaran yang inklusif dan tegas menentang buli untuk memastikan semua pelajar rasa dihargai.
"Apabila orang dewasa menunjukkan bagaimana cara yang sihat dalam menangani tekanan serta menyokong kesihatan mental, mereka menunjukkan kepada remaja bahawa langkah mendapatkan bantuan adalah tanda mereka kuat dan tidak keseorangan dalam menghadapinya."
Pencegahan dan sokongan
Dalam menangani isu bunuh diri dalam kalangan remaja, Nazwan menekankan kepentingan pencegahan dan juga sokongan kepada mereka yang terkesan daripada kejadian bunuh diri (postvention).
Mengulas lanjut mengenai postvention, dia berkata penjagaan yang diberikan selepas kejadian itu bertujuan untuk menyokong mereka yang terkesan dan mencegah tragedi seterusnya.
"Apabila komuniti, sekolah atau keluarga kehilangan seorang remaja akibat bunuh diri, kesannya kepada rakan sebaya dan adik beradik boleh menjadi begitu mendalam, dan sering kali menjadikan mereka berisiko mengalami masalah emosi dan tindakan bunuh diri turut muncul dalam fikiran mereka sendiri.
"Dengan memberi tumpuan kepada postvention, kita dapat membantu orang-orang muda ini untuk memproses kedukaan mereka, mengurangkan rasa terasing dan akhirnya, mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk remaja lain," katanya lagi.
Bagi ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhan, Nazwan berkata ia bermakna mewujudkan ruang di mana perbincangan terbuka mengenai kehilangan yang dialami adalah sesuatu yang digalakkan dan membantu remaja memahami bahawa bukan mereka sahaja yang mengalami perasaan itu.
"Sekolah boleh memainkan peranan penting dengan menawarkan perkhidmatan kaunseling dan kumpulan sokongan kedukaan yang dirangka khusus untuk pelajar yang telah mengalami kehilangan.
"Di rumah pula, ibu bapa boleh menunjukkan cara berkabung secara sihat, meluahkan emosi mereka secara terbuka, dan menunjukkan bahawa langkah mendapatkan bantuan adalah tanda kekuatan, bukannya kelemahan," katanya lagi.
Sekiranya anda merasa tertekan atau mempunyai kecenderungan membunuh diri, atau mengenali seseorang yang berdepan situasi itu, sila hubungi talian bantuan berikut:
Talian Kasih
Hotline: 15999
The Befrienders
Hotline: 03-76272929
Pusat Kaunseling Agape Malaysia
Hotline: 03-77855955 atau 03-77810800
Life Line Association Malaysia
Hotline: 03-42657995