Penganjur perhimpunan antirasuah yang dirancang pada malam tahun baru tidak terkesan dengan rancangan perhimpunan balas yang dianjurkan di tapak yang sama di Kota Kinabalu untuk menunjukkan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Sekretariat perhimpunan ‘Gempur Rasuah Sabah’ dalam satu kenyataan menyifatkan perhimpunan balas yang dinamakan Himpunan Bangkit Sabahan sebagai "provokasi" untuk mengalih perhatian orang ramai daripada dakwaan rasuah terhadap pentadbiran pimpinan Hajiji.
"Perhimpunan balas ‘Kami Bersama Hajiji’ lebih menjurus kepada mengagungkan individu tertentu berbanding memberi tumpuan kepada maruah negeri Sabah yang tercalar ekoran krisis rasuah.
"Tambahan pula, ketiadaan tuntutan dan matlamat yang jelas dalam
perhimpunan balas ‘Kami Bersama Hajiji’ lebih mencetus penolakan awam terhadap kepimpinannya.
"Menurut Seksyen 18 Akta Perhimpunan Aman, mana-mana
perhimpunan balas harus ditukar lokasi, masa, dan tempat oleh Pegawai yang Menjaga Daerah Polis," kata kumpulan itu.
Pada 20 Dis, Suara Mahasiswa UMS mengumumkan bahawa polis Kota Kinabalu telah menerima notis penganjur di bawah Akta Perhimpunan Aman untuk mengadakan perhimpunan antirasuah di luar Bangunan Pentadbiran Negeri Sabah.
Bagaimanapun, dilaporkan kemudian kumpulan berasingan juga akan berkumpul pada masa dan tempat yang sama untuk menyatakan sokongan kepada Hajiji.
Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin susulan itu menggesa semua pihak mematuhi undang-undang, sementara Pemuda Umno menyeru masyarakat Sabah supaya tidak terbabit dengan sebarang perhimpunan yang dijadualkan pada 31 Dis ini.
Sementara itu, sekretariat perhimpunan Gempur Rasuah Sabah dalam kenyataannya turut menegaskan bahawa perhimpunan berkenaan akan diteruskan seperti yang dirancang, dan menggesa lebih ramai orang ramai untuk menyertai perhimpunan aman itu.
"Perhimpunan ini merupakan saluran terbaik rakyat untuk bersuara,
menyatakan kemarahan dan ekspresi, menuntut keadilan, ketelusan dalam tadbir urus peringkat negeri dan nasional," katanya.
Perhimpunan itu diadakan berikutan pendedahan pemberi maklumat yang berhubung dakwaan rasuah oleh beberapa Adun Sabah, yang turut melibatkan Hajiji.
Kumpulan itu menambah bahawa pasukan sukarelawan keselamatan dan kesihatan akan bersiap sedia sepanjang perhimpunan, selain daripada anggota keselamatan.