Perikatan Nasional mengulangi bantahan mereka terhadap penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selepas pengarah bebas bukan eksekutif syarikat itu turut menolak tawaran pengambilalihan itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, ketua pembangkang Hamzah Zainudin berkata ahli parlimen PN menentang keras penjualan saham itu, dan mahu MAHB kekal sebagai syarikat awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia bagi memastikan ketelusan dan tadbir urus yang baik.
"Sebagai 'angsa emas' dan juga salah satu aset strategik negara yang penting, MAHB mesti kekal menjadi milik rakyat Malaysia," katanya.
Tawaran pengambilalihan MAHB diusahakan oleh sebuah konsortium yang diketuai Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang merancang untuk menyahsenarai syarikat itu daripada Bursa Malaysia.
Sebelum ini, beberapa ahli politik membantah langkah itu kerana anak syarikat Blackrock, sebuag syarikat berkaitan tentera Israel menjadi sebahagian daripada konsortium itu.
Pekeliling nasihat bebas yang diterbitkan pada hari Jumaat, 20 Dis juga menyatakan pengarah bebas MAHB menentang langkah itu atas alasan perniagaan.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) telah membuat kesimpulan bahawa urus niaga itu tidak adil kerana tawaran RM11 sesaham konsortium itu lebih rendah daripada anggaran nilai saham antara RM12.61 dan RM13.71.
Bagaimanapun, ia mendapati perjanjian itu munasabah kerana tiada tawaran bersaing, dan dengan itu mengesyorkan agar para pengarah menerima tawaran itu.
Pengarah bebas bukan eksekutif Mohamad Husin, Ramananthan Sathiamutty, Cherly Khor, Koe Peng Kang, dan Chris Chia tidak bersetuju, dan mendapati tawaran untuk kedua-duanya tidak adil dan tidak munasabah.
Mereka berhujah bahawa tidak ada sebab yang baik untuk menjual saham MAHB kerana syarikat itu mempunyai strategi yang jelas untuk pertumbuhan dan harus kekal disenaraikan secara terbuka supaya ia boleh meningkatkan ekuiti tambahan.
Konsortium yang diketuai Khazanah dan KWSP enggan menyemak semula tawaran mereka selepas pekeliling bebas itu dikeluarkan.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara berkata ia akan mengambil kira bantahan pengarah apabila ia menjalankan siasatan terhadap penjualan saham MAHB.