Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
WAWANCARA | Veveonah 'gadis atas pokok' kini belajar jadi doktor

WAWANCARA | Veveonah Mosibin pernah menggegarkan perbincangan politik Malaysia dengan videonya berkhemah atas pokok demi menduduki peperiksaan dalam talian ketika pandemik.

Gadis luar biasa dari Pitas, Sabah ini, kini melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan MBBS di Management and Science University (MSU), Shah Alam, bermula 1 Oktober 2024.

Veveonah, 23, yang sebelum ini menamatkan ijazah Sains Marin, berkata dia telah lama menyimpan impian untuk menjadi doktor.

Apa yang lebih menyentuh hati, impiannya ini terinspirasi oleh ibunya, Rofinah Ungo, yang pernah bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Pitas serta kakaknya yang kini seorang jururawat.

“Salah satu sebab saya bercita-cita untuk menjadi doktor di Hospital Pitas adalah menghormati hasrat ibu saya dan meneruskan legasinya – bukan lagi sebagai tukang cuci, tetapi sebagai seorang doktor.

"Cita-cita saya untuk menjadi seorang doktor adalah untuk berkhidmat kepada manusia, membantu pesakit, serta memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara dalam jangka masa panjang," katanya.

Dari pandemik ke hospital

Veveonah juga berkongsi cabaran yang pernah dihadapinya semasa pandemik.

Pada 2021, dia berkata minatnya terhadap pengajian dalam Sains Marin akibat tekanan mental dan kekecewaan dengan pembelajaran dalam talian.

“Saya sangat tertekan dan hilang minat untuk belajar, terutama sekali dalam tempoh pembelajaran dalam talian. Saya merasa terlepas banyak komponen fizikal kursus tersebut," katanya.

Namun, gadis ini bangkit semula selepas bermuhasabah diri merenung keadaan keluarganya yang serba kekurangan.

Dengan semangat juang tinggi, Veveonah berjaya menamatkan pengajian ijazah muda sains marin dan kini mengorak langkah ke bidang perubatan.

Kisah viral Veveonah pada 2020 bukan sahaja membuka mata rakyat Malaysia terhadap isu sambungan internet di kawasan pedalaman malah telah menyumbang kepada peningkatan infrastruktur digital di Sabah.

“Apa yang paling menarik perhatian saya tentang bidang perubatan ialah keperluan untuk pembelajaran sepanjang hayat.

"Sebagai seorang doktor, kita perlu sentiasa memperoleh pengetahuan baharu untuk memberikan penjagaan terbaik kepada pesakit.

"Kehidupan mereka sebahagiannya berada di tangan kita, dan kita membuat keputusan penting untuk menyelamatkan nyawa.

"Tanggungjawab dan komitmen inilah yang mendorong saya untuk menceburi bidang perubatan dan mengukuhkan minat saya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ini,” katanya lagi.

Tak sesal di hari tua

Mengenai pengalamannya di MSU, Veveonah merasa bersyukur dikelilingi rakan-rakan pelbagai kaum yang saling menyokong.

“Kami berharap dapat berjaya menamatkan pengajian dan housemanship bersama-sama,” tambahnya.

Walaupun tidak sempat menghadiri majlis konvokesyen di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 9 Disember lalu kerana kos penerbangan yang mahal, semangat Veveonah tetap membara.

“Jangan pernah putus asa dalam mengejar cita-cita supaya tiada penyesalan di hari tua.

"Teruskan perjuangan selagi mampu, bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan,” pesan Veveonah kepada generasi muda.

Dengan iltizam yang tidak pernah luntur, perjalanan Veveonah dari atas pokok ke dewan kuliah perubatan membuktikan segala rintangan mampu diatasi jika disertai dengan tekad dan usaha gigih.

Siapa sangka 'gadis pokok' ini menamatkan ijazah sains marin dan kini melangkah ke dunia putih jalur perubatan?

Berikut wawancara penuh Malaysiakini bersama Veveonah yang diedit untuk kejelasan:

Boleh ceritakan rahsia kejayaan anda dalam bidang sains marin walaupun mengalami kesukaran mencapai talian internet, serta kongsikan perjalanan hidup setakat ini?

Veveonah: Saya ada beberapa sebab. Pertama, ketabahan. Saya memegang prinsip: Sentiasa selesaikan apa yang telah dimulakan, walau sesukar mana sekalipun situasinya.

Kedua, tanggungjawab. Saya bertanggungjawab kepada diri sendiri, penaja dan harapan keluarga, terutamanya ibu bapa. Sebab itu saya berusaha untuk menamatkan pengajian sains marin sebelum bertukar ke bidang perubatan.

Selepas menyelesaikan pengajian ijazah muda sains marin kenapa mahu beralih kepada bidang perubatan pada peringkat sarjana MBBS?

Veveonah: Saya sudah bercita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di MSU sejak tahun 2021. Pada mulanya, saya fikir kursus sains marin hanya berkaitan aktiviti berenang dan pemuliharaan. Namun, selepas menceburi bidang tersebut, saya sedar ia adalah bidang yang luas dan tidak terlalu spesifik.

Lama-kelamaan, saya hilang minat untuk mendalami subjek sains, terutamanya semasa tempoh pembelajaran dalam talian (PKP), kerana saya terlepas banyak komponen praktikal kursus tersebut.

Walaupun begitu, saya sangat menyukai aspek pemuliharaan ekosistem marin dan juga pengalaman latihan industri. Saya berpeluang menjalani latihan di Akuarium & Muzium Marin (AMUMS), rotasi di Integrated Multi-Trophic Aquaculture (IMTA), dan Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) di UMS. Secara keseluruhannya, saya menjalani latihan di tiga lokasi berbeza dalam UMS.

Daripada pengalaman ini, saya menemui sesuatu yang penting tentang diri saya - saya tidak gemar melakukan penyelidikan dan kerja kertas. Sebaliknya, saya lebih menyukai kerja praktikal dan hands-on, seperti memberi makan ikan, membersihkan akuarium, dan menyertai aktiviti seperti bedah siasat penyu yang telah mati di AMUMS.

Kesedaran ini membuatkan saya memutuskan untuk tidak melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang berkaitan marin, sebaliknya menumpukan kepada matlamat utama saya—melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

Boleh ceritakan cita-cita Veveonah sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan tujuan memilih bidang ini, serta kenapa tidak memilih sains marin?

Veveonah: Sejujurnya, saya tidak pernah mempunyai cita-cita khusus semasa kecil. Namun, sejak awal saya sedar saya dikurniakan kebolehan untuk cemerlang dalam pelajaran.

Ketika berumur 19 tahun, saya mula memahami bahawa tujuan hidup saya adalah untuk memberi sumbangan sebanyak mungkin kepada keluarga, kampung halaman (Kg Sapatalang dan Kg Pinonibasan), daerah (Pitas), negeri (Sabah) dan negara (Malaysia). Penemuan tentang identiti dan keutamaan peribadi ini semakin kukuh selepas saya menjadi tular.

Saya berasa amat bangga dan gembira apabila keluarga dan komuniti saya mendapat manfaat daripada perhatian yang saya terima. Saya berasa puas apabila kisah viral saya membawa perubahan positif kepada negeri saya, terutamanya dalam aspek peningkatan sambungan internet. Saya juga berasa gembira dapat memberi inspirasi kepada orang lain dan membina hubungan bermakna dengan tokoh-tokoh berpengaruh di seluruh negara.

Daripada pengalaman ini, saya mula merenung masa depan saya dan membayangkan kerjaya yang selari dengan nilai serta prinsip hidup saya. Saya memutuskan untuk menjadi seorang doktor perubatan—profesi yang melibatkan hubungan rapat dengan manusia, membantu pesakit secara langsung, dan memberi sumbangan bermakna kepada komuniti serta negara dalam jangka masa panjang.

Apa yang paling menarik perhatian saya tentang bidang perubatan ialah keperluan untuk pembelajaran sepanjang hayat. Sebagai seorang doktor, kita perlu sentiasa memperoleh pengetahuan baharu untuk memberikan penjagaan terbaik kepada pesakit. Kehidupan mereka sebahagiannya berada di tangan kita, dan kita membuat keputusan penting untuk menyelamatkan nyawa. Tanggungjawab dan komitmen inilah yang mendorong saya untuk menceburi bidang perubatan dan mengukuhkan minat saya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ini.

Siapakah yang menjadi inspirasi atau teladan untuk anda terjun ke bidang perubatan?

Veveonah: Saya mendapat inspirasi daripada ibu dan kakak saya. Ibu saya pernah bekerja sebagai cleaner di Hospital Pitas selama enam tahun (2012–2017), manakala kakak saya telah menjadi jururawat berdaftar sejak tahun 2020. Saya masih ingat, saya sering melawat ibu semasa beliau masih bekerja sebagai tukang cuci kerana sekolah menengah saya (SMK Pitas) terletak bersebelahan dengan hospital. Ibu saya sangat dihormati oleh para doktor di sana kerana kerja keras dan dedikasinya, sehingga mendapat penghormatan serta penghargaan daripada mereka.

Salah satu sebab saya bercita-cita menjadi seorang doktor di Hospital Pitas adalah untuk menghormati hasrat ibu saya dan meneruskan legasinya—bukan lagi sebagai tukang cuci, tetapi sebagai seorang doktor.

Manakala kakak saya, walaupun bukan pelajar aliran sains, berjaya dalam profesionnya sebagai jururawat. Pengalaman beliau dalam bidang kejururawatan telah mengubah dirinya menjadi individu yang lebih profesional dan logik, dan saya sangat mengagumi ketabahannya serta perkembangan dirinya.

Pengalaman-pengalaman ini memainkan peranan penting dalam memotivasikan saya untuk menceburi bidang perubatan. Sebahagian besar minat saya sebenarnya berpunca daripada pengalaman hidup dan contoh yang ditunjukkan oleh keluarga saya.

Apakah cabaran menyesuaikan diri di MSU dan bagaimana dengan persepsi orang Semenanjung terhadap orang Sabah?

Veveonah: Cabaran terbesar saya untuk tinggal di Semenanjung Malaysia bagi melanjutkan pelajaran di MSU adalah berkaitan tempat tinggal, pengangkutan ke MSU, dan kewangan. Syukurlah, saya mempunyai kakak yang sudi mempelawa saya untuk tinggal bersamanya. Jadi, sebahagian daripada keperluan kewangan saya buat sementara waktu ditanggung oleh kakak saya sehingga saya mendapat kelulusan biasiswa dan elaun perbelanjaan pelajar.

Dari segi komuniti di Semenanjung, setakat ini saya hanya bersosial dengan rakan-rakan yang sama-sama mengambil jurusan perubatan di MSU. Semua rakan saya sangat baik dan mempunyai personaliti yang sesuai dengan profesion sebagai doktor perubatan. Mereka banyak membantu saya menyesuaikan diri di MSU. Mereka juga berperwatakan rajin belajar, kuat berusaha, dan mempunyai common sense yang tinggi.

Sebenarnya, saya mempunyai beberapa rakan yang saya selesa bergaul, semuanya perempuan, dan mereka terdiri daripada bangsa Melayu dan India. Saya berharap kami dapat saling menyokong antara satu sama lain supaya dapat berjaya menamatkan pengajian, bergraduasi, dan menghabiskan housemanship bersama-sama.

Apakah cabaran terbesar yang pernah dihadapi dalam dunia akademik dan bagaimana anda mengatasinya?

Veveonah: Setiap manusia akan melalui titik kehidupan yang paling rendah sekali. Jadi sebagai seorang manusia, saya pernah juga berfikir untuk putus asa suatu ketika dahulu. Saya masih ingat lagi, dulu masa PKP pada tahun 2021, saya hilang minat untuk belajar.

Saya bosan belajar online, dan cuba untuk berhenti. Ditambah lagi dengan keadaan mental saya yang kurang stabil pada masa itu, memang sangat murung la. Tapi, selepas saya melihat kembali, bermuhasabah diri, dengan keadaan keluarga yang susah, saya cuba sedaya upaya untuk kembali ke pangkal jalan lah.

Dari sana saya cuba untuk bangkit semula. Saya sangat bersyukur sebab ada keluarga yang bersungguh-sungguh menyokong saya. Dan komuniti saya pun banyak membantu, terutamanya pensyarah-pensyarah saya dan kaunselor-kaunselor di UMS dulu.

Mereka sangat memahami, dan banyak memberi nasihat untuk membantu saya untuk terus bertahan pada masa itu. Dari situ saya belajar tentang ketabahan, seperti jangan pernah berhenti atas apa yang telah dimulakan.

Apakah saranan kepada rakan-rakan yang berasa sukar melanjutkan pelajaran dalam bidang mereka?

Veveonah: Setiap individu ada tujuan hidup masing-masing, misi dan visi yang berbeza. Jadi, motivasi untuk belajar itu sebenarnya datang dari diri sendiri.

Jangan putus asa dalam mengejar cita-cita, supaya tiada penyesalan, dan tidak menyesal di hari tua. Kalau kita masih muda, teruskan perjuangan selagi mampu. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Bila konvokesyen di UMS?

Veveonah: Saya tidak dapat menghadiri konvokesyen di UMS pada 9 Disember 2024 kerana sibuk dengan kelas di MSU dan kekangan kewangan untuk balik ke Sabah. Namun, saya sudah merancang untuk mengambil sijil saya di UMS pada 26 Disember ini, semoga cuaca baik untuk perjalanan ke sana.

Saya tidak sempat menghadiri konvokesyen di UMS pada 9 Disember 2024 lalu. Kerana pada masa itu, saya sangat sibuk dengan kelas di MSU.

Saya kurang dana kewangan untuk balik ke Sabah kerana kos penerbangan sangat mahal. Saya hanya dapat balik untuk cuti Krismas kerana tiket penerbangan sudah dibeli sejak awal lagi, jadi tiket murah.

Walaupun begitu, saya sudah merancang untuk mengambil sijil ijazah saya di UMS, pada 26 Disember ini. Semoga keadaan cuaca baik pada tarikh ini, supaya tiada halangan untuk jalan ke UMS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS