Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga minta MB S'gor selamatkan rumah 100 tahun dari diroboh

Pemilik sebuah rumah lama berusia kira-kira 100 tahun di Rawang, Selangor yang bakal dimusnahkan menaruh harapan agar Menteri Besar Selangor Amirudin Shari campur tangan bagi menyelamatkan rumah tersebut.

Ia selepas Jimmy Sidhu - seorang ahli keluarga pemilik rumah itu - memberitahu Malaysiakini yang Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 29 Nov lalu telah memberikan perintah sementara (ad interim) agar perobohan rumah itu ditangguhkan.

"Mahkamah memberikan perintah ini agar status quo rumah tersebut dikekalkan sehingga notis usul di Mahkamah Rayuan diputuskan.

"Maka kami meminta menteri besar Selangor agar campur tangan dan menyelamatkan rumah 'Rawang Heritage' ini daripada dirobohkan," katanya semalam.

Jimmy Sidhu

Jimmy tinggal di rumah itu bersama ibunya, isteri dan dua anak perempuannya, masing-masing berusia 14 dan tujuh tahun.

Manakala ahli keluarga lain akan datang ke rumah tersebut pada hujung minggu, katanya lagi.

Pada 17 November 2017, Malaysiakini melaporkan Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan pemilik untuk menangguhkan perobohan rumah itu.

Sebuah syarikat perlombongan berulang kali meminta keluarganya untuk mengosongkan premis itu untuk membuat jalan bagi kerja-kerja pembinaan kuari itu.

Walaupun datuk Jimmy membeli rumah berkenaan, geran rumah untuk plot rumah yang diduduki hilang pada tahun 1970-an, hingga menyebabkan tindakan undang-undang diambil oleh kedua-dua pihak.

Keluarga Sidhu kalah kes itu pada tahun 2016 dan selepas itu mereka membuat permohonan untuk membatalkan kerja-kerja perobohan.

Semalam, Jimmy memberitahu rumah tersebut dibina oleh sebuah syarikat perlombongan British pada tahun 1920-an, dan keluarganya membelinya pada tahun 1950-an.

Dia juga berkata pemilikan tanah rumah itu telah disatukan dengan tanah perlombongan di sekitarnya pada pertengahan 1980-an.

Justeru, katanya lagi, pihak keluarga memohon kepada syarikat perlombongan agar tanah itu disewakan kepada mereka namun tidak menerima maklum balas.

"Kami tak minta secara percuma, atau meminta hak milik tanah, kami akan bayar, kami nak penyewaan dari syarikat perlombongan itu cuma kawasan rumah yang sedia ada,” katanya.

Berkenaan kehilangan dokumen pemilikan rumah, dia berkata pihak keluarga sejak sekian lama cuba mendaftar hak milik tanah di situ namun tidak berjaya.

"Setiap kali permohonan kami ditolak dengan pelbagai alasan, sehingga empat permit perlombongan telah diperbaharui.

"Saya berharap, menteri besar Selangor dapat memberi perhatian sewajarnya agar menyelamatkan rumah 'Rawang Heritage' ini," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS