Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah memanggil seorang pegawai imigresen gred KP22 berhubung siasatan skandal visa perubatan untuk membawa masuk warga asing.
Dua sumber daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.
Malaysiakini juga difahamkan pegawai tersebut merupakan orang kanan 'Tok Ayah'.
"Minggu lepas EAIC mengadakan serbuan di salah sebuah bahagian imigresen.
"Susulannya, agensi itu telah memanggil pegawai itu untuk memberi keterangan," kata sumber itu.
Bagaimanapun, kedua-dua sumber tidak dapat mengesahkan jika ada sebarang rampasan dibuat semasa serbuan itu.
‘Tok Ayah dan DK’
Malaysiakini telah menghubungi EAIC dan JIM untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai dakwaan ini.
Sebelum ini sumber memberitahu identiti DK seorang warga tempatan dan ahli perniagaan dari Johor manakala 'Tok Ayah' pula pegawai kanan dalam sebuah agensi kerajaan.
Nama 'Tok Ayah' dan 'DK' dipetik sebagai dalang utama dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sindiket 'fly' membabitkan rasuah RM1.2 juta, kata satu sumber SPRM.
Sindiket ‘fly’
Sumber SPRM itu juga memberitahu, ketika siasatan salah seorang Orang Kena Tahan (OKT) mendedahkan nama-nama berkenaan.
Sebelum ini, Malaysiakini pernah mendedahkan dakwaan DK dan 'Tok Ayah' sebagai dua dalang utama yang terkait sindiket penipuan cop visa warga asing serta masih bebas daripada sebarang tindakan.
Untuk rekod, pada 4 Dis, SPRM telah menahan empat individu termasuk tiga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan seorang ejen berkaitan sindiket 'fly' yang merupakan sindiket penipuan cop keluar-masuk pekerja asing tanpa memerlukan kehadiran warga asing secara fizikal.
Pegawai-pegawai JIM itu didakwa terlibat dalam amalan rasuah dan pengubahan wang haram dengan bersekongkol dengan ejen yang menguruskan pas warga asing untuk tinggal lebih lama.
Terdahulu, EAIC menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan salah laku berkaitan skandal itu.
Siasatan penuh dijalankan selaras dengan subseksyen 27(4) yang dibaca bersama dengan subseksyen 26(3) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.
Pihak berkuasa telah menyerbu Bahagian Visa, Pas dan Permit Jabatan Imigresen (JIM) di Putrajaya serta menyita 156 fail permohonan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan).
Selain pegawai JIM, siasatan turut melibatkan beberapa pegawai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
JIM sebelum ini memberi jaminan tidak akan berkompromi terhadap pegawainya yang terlibat dalam sindiket yang didakwa itu.
EAIC badan berkanun persekutuan yang, antara lain mempunyai kuasa menyiasat sebarang aduan salah laku penguat kuasa atau agensi penguatkuasaan.