Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nahas KM204: JPJ siasat audit keselamatan syarikat treler, bas
Diterbitkan:  Dec 25, 2024 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menyiasat secara terperinci serta tindakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA), bagi meneliti pelbagai aspek keselamatan terutamanya berkaitan teknikal terhadap syarikat kenderaan terlibat dalam kemalangan di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di Melaka kelmarin, yang mengakibatkan tujuh maut dan 33 cedera.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya memandang serius trend kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya yang lain dan akan melipatgandakan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan terutamanya berkaitan kesalahan teknikal.

“JPJ akan menambah kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berkaitan pemeriksaan penyalahgunaan dadah oleh pemandu, serta akan menyemak dan memeriksa prosedur pemeriksaan berkala kenderaan perdagangan yang dilakukan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) atau pusat pemeriksaan kenderaan yang dilantik,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, Aedy Fadly berkata JPJ akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), untuk memeriksa dan memantau bengkel yang berdaftar dan juga bengkel haram yang disyaki menyediakan perkhidmatan menyewa peralatan bagi tujuan pemeriksaan di pusat pemeriksaan kenderaan.

JPJ juga akan menilai semula dan menambah baik latihan dan kursus kepada pemandu kenderaan perdagangan dan menambah elemen pematuhan dan pengetahuan teknikal kepada pemandu sebelum sijil dikeluarkan.

Beliau turut mengingatkan semua pemandu kenderaan perdagangan supaya sentiasa bertanggungjawab dalam mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa.

“Tahun 2025 akan dijadikan tahun penguatkuasaan dengan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempunyai cubaan dalam langkah bersubahat melakukan kesalahan teknikal, terutamanya berkaitan kenderaan perdagangan,” katanya.

Terdahulu Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan telah mengarahkan JPJ segera menjalankan siasatan berhubung punca kemalangan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat treler dan bas yang terlibat.

Tujuh termasuk lima sekeluarga maut, manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu dan empat penumpang MPV serta pemandu dan penumpang bas berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS